Rabu, April 22, 2009

Sifat Tercela Yang Membinasakan!

Salam…!

Walau apa pun alasan kita, Islam melarang keras umatnya daripada sikap kutuk mengutuk, hina menghina dan mengeji orang lain. Sebagaimana kita tidak mahu orang mencarut dan menghina kita, maka begitulah juga orang lain.

Di dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Setiap orang Islam ke atas orang Islam yang lain, diharamkan darahnya (yakni tidak boleh membunuhnya), hartanya (tidak boleh dirampas) dan kehormatannya (tidak boleh dicaci hina)".

Justeru itu, Islam sebagai agama kemulian, agama perdamaian dan agama perpaduan melarang keras umatnya daripada perbuatan menyakiti kaum muslimin yang lain dengan sebarang perilaku buruk dan cabul, atau dengan kata bicara yang logik pada dasarnya tetapi sebaliknya adalah bertujuan menghina, lebih‑lebih lagi Islam melarang umatnya mengutuk, maki hamun, mencerca dan mengeluarkan kata‑kata mencarut terhadap orang lain.
Semua perilaku tersebut adalah termasuk di dalam kategori dosa‑dosa besar yang dibenci oleh agama Islam yang suci. Kerana ianya tidak menawarkan apa‑apa pulangan baik dan keuntungan yang memberangsangkan, melainkan ia akan menarik kepada perselisihan dan permusuhan di antara umat Islam.

Firman Allah SWT di dalam surah Al‑Ahzab, ayat 58, bermaksud:
"Mereka yg menyakiti orang‑orang mu'min lelaki dan perempuan, terhadap suatu perkara yg tidak mereka lakukan, sesungguhnya mereka memikul fitnah dan dosa yang nyata".

Suatu kali, Baginda Rasulullah SAW bercerita: "Bahawa pada malam Baginda di Isra'-kan oleh Allah SWT. Baginda telah melepasi satu golongan manusia yang berkuku tajam daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka sendiri tanpa henti, lalu memancutlah darah keluar beserta daging muka dan dada mereka koyak dalam keadaan yang amat mengerikan. Lalu Baginda SAW bertanya kepada Malaikat; Wahai Jibril! siapakah gerangan orang‑orang itu? Malaikat Jibril menjawab: Itulah, mereka yang memakan daging manusia (yakni suka mengumpat sentiasa dan mencemarkan kehormatan orang lain)".

Benarlah apa yg diperintahkan oleh Allah SWT yang melarang kita daripada melakukan perkara yg boleh menjejaskan perpaduan dan keutuhan kita umat Islam.
Oleh itu jauhkanlah diri kita dari mencemuh dan merendah‑rendahkan puak atau orang lain. Jangan sekali‑kali menyata dan menjatuhkan keaiban orang lain. Janganlah juga kita memanggil walau sesiapa pun dengan panggilan yg buruk atau menghinakan.

Hindarilah diri kita daripada berburuk‑sangka hingga membawa diri kita bersikap suka mengintip atau mencari‑cari kesalahan orang lain, yang akhirnya membawa kepada sifat suka umpat mengumpat dan keji mengeji di antara kita sesama umat Islam.

Berkata Saidina Umar Al-Khattab : "Selalulah kamu berzikir kepada Allah, kerana ia adalah penawar. Jauhilah dari menyebut-nyebut tentang kecacatan manusia, kerana itu adalah penyakit."

"Kebanyakan dosa anak Adam adalah dari lidahnya." (Hadis Thabrani dan Baihaqi)

Berkata Ibnu 'Abbas : "Apabila kamu hendak menyebutkan tentang kecacatan orang lain, sebutlah tentang kecacatan dirimu"

Muhammad bin Wasi' pernah menasihati Malik bin Dinar: "Wahai Aba Yahya, menjaga lidah itu lebih sukar bagi manusia dari menjaga dinar dan dirham."

Marilah atas dasar dan semangat cintakan kehidupan yang diredhai Allah SWT, sama‑sama kita hidup dalam suasana harmoni, hidup saling hormat menghormati, saling kasih mengasihi dan saling bantu membantu di antara Islam lain.

Wallahua'lam & Wassalaamu

Tiada ulasan:

Catat Komen