Selasa, April 21, 2009

Budaya Bohong Boleh Tumbangkan Tiang Agama!

Salaam...!

BERDUSTA dalam apa juga keadaan sekalipun adalah perbuatan yang amat dilarang dan di antara perbuatan terkutuk di sisi agama. Agama lain turut menghalang penganutnya daripada melakukan sebarang pendustaan dan pembohongan.

Ia disebabkan tindakan sedemikian mampu mengancam ketenteraman dan keharmonian, sekali gus menyebabkan masyarakat berada dalam keluh kesah serta cemas angkara tersebarnya maklumat palsu atau berbaur fitnah.

Sesungguhnya, Islam adalah agama sejahtera yang bermatlamat untuk melahirkan kesejahteraan kepada seluruh manusia. Islam melarang perbuatan atau perkataan yang bohong sama ada melalui media cetak atau media elektronik. Yang pasti tindakan itu dikecam, dikeji dan dilaknat sama ada ke atas pelaku pembohongan dan juga kepada orang yang mendengar atau membacanya.

Apatah lagi jika pembohongan itu dilakukan terhadap Allah dan rasul-Nya. Dalam al-Quran, terdapat 130 ayat dalam pelbagai surah yang mencaci perbuatan sedemikian. Di antaranya, Allah mencela orang berbohong melalui firman-Nya: “Besar sungguh perkataan (syirik) yang keluar daripada mulut mereka, mereka hanya mengata perkara yang berdusta.” [Surah Al-Kahfi, Ayat 5].

Celaan terhadap orang yang suka mendengar perkataan bohong juga diterangkan dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Mereka ialah orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka, bagi mereka kehinaan di dunia dan di akhirat, mereka beroleh azab seksaan yang besar, mereka sangat suka mendengar berita dusta.” [Surah al-Maidah, Ayat 41- 42].

Al-Quran dan hadis banyak menjelaskan mengenai larangan bercakap bohong dan berdusta, memfitnah dan mengada-adakan cerita. Meskipun sudah banyak tegahan diterangkan, namun masih ada umat Islam yang suka dan sengaja melanggarnya.

Budaya berbohong bukan saja menyebabkan sesuatu bangsa dianggap tidak bermaruah, malah akan dipandang rendah oleh masyarakat dunia. Bayangkan bagaimana akan berlaku jika sesebuah negara tidak ada orang yang boleh dipercayai. Tentu tidak akan ada lagi negara yang mahu menjalin hubungan diplomatik, perdagangan, sosial, pendidikan, kebudayaan, sains dan teknologi dengan negara berkenaan.

Ketika itu, bukan lagi kebaikan diperoleh negara terbabit sebaliknya bencana dan musibah yang melanda kerana negara berkenaan pasti dianggap bangsa pembohong, penipu atau tidak boleh dipercayai.

Pembohongan terhadap Allah adalah perbuatan yang amat terkutuk dan dicela serta bakal dikenakan seksaan amat pedih di akhirat. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah dan mendustakan kebenaran, sebaik-baik saja kebenaran itu disampaikan kepadanya, bukankah (sudah diketahui bahawa) dalam neraka jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang yang kafir.” [Surah Az-Zumar, Ayat 32]

Kutukan sama dikenakan kepada mereka yang mendustakan Rasulullah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang mendustakan ke atasku dengan sengaja, maka dia sudah menempah tempat duduknya dalam neraka.”

Berdasarkan catatan sejarah, ada puak yang tidak takut dengan seksaan Allah. Mereka adalah golongan yang mendustakan Allah hingga membawa kepada melabelkan Allah dengan sifat yang lemah. Malang lagi, golongan ini sanggup menyesatkan orang lain dengan dakwaan palsu yang dibawa mereka. Na’uzubillahiminzalik!

Tidak kurang ada golongan ini yang mencampur adukkan hukum Allah dengan fikiran serta pandangan peribadi mereka. Mereka seterusnya mendakwa apa yang mereka perkatakan atau lakukan itu adalah bersandarkan nas dan dalil al-Quran dan hadis.

Sesungguhnya, perbuatan mereka samalah dengan kerenah dan sikap orang Yahudi yang mengubah sebahagian hukum Allah yang mencampur-adukkan ajaran agama dengan akal mereka. Sikap golongan Yahudi ini sudah diterangkan melalui firman Allah yang bermaksud: “Kecelakaan besar bagi orang yang menulis kitab (Taurat) dengan tangan mereka (lalu mengubah kalam Tuhan dengan rekaan mereka), kemudian mereka berkata, ini ialah dari sisi Allah supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka dan kecelakaan besar bagi mereka daripada apa yang mereka usahakan.” [Surah Al-Baqarah, Ayat 79]

Oleh itu, marilah kita mendalami ajaran Islam dengan meningkatkan penguasaan ilmu agar kita dapat membezakan ajaran yang hak (benar) dengan yang batil (sesat). Dengan berbuat demikian saja, kita dapat membezakan di antara ajaran yang ditokok tambah atau diseleweng dengan ajaran agama sebenar.

Jika tidak, kita pasti akan meneruskan kegiatan pembohongan terhadap agama seperti mana yang dilakukan oleh musuh Islam bagi menghancurkan Islam.

Wallahua'lam & Wassalaamu
*[Tulisan ini adalah dari seorang sahabat yang matlamatnya adalah ingin menyampaikan walaupun sepotong ayat dengan harapan, yang menulis dan membaca meraih As-Sunnah & keredhaan-Nya]

1 ulasan:

  1. Semoga Allah menjauhkan UMNO dari sifat yang keji ini..aminnn...

    BalasPadam