Rabu, Oktober 28, 2009

Islam Tulen Boleh Selamatkan Umno

Ramai tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya terlebih dahulu akui bahawa saya bukan ‘orang politik’ untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO.

Islam itu sebagai ad-din dalam kehidupan masyarakat Islam, termasuklah masyarakat melayu yang secara majoritinya mengakui Islam sebagai nadi hidup mereka. Jika UMNO inginkan masyarakat melayu menerima mereka, UMNO mestilah mendokong dan menjaga nadi hidup mereka ini dengan baik.

Justeru itu, jawapan saya mudah sahaja: “UMNO! Kembalilah kepada Islam tulen!” UMNO mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif. Apabila saya kata demikian, bukan bererti saya menafikan keislaman UMNO sebelum ini, atau unsur-unsur Islam yang sedia ada dalam UMNO. Namun apa yang jelas keislaman UMNO itu perlu diperkukuh dan proses perbaikan kelemahan perlu dibuat segera.

Allah sendiri dalam al-Quran pernah menyebut: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, serta kepada kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), juga kepada Kitab yang telah diturunkan sebelum daripada itu. Dan sesiapa yang ingkar kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” [Surah al-Nisa, ayat 136].

Dalam ayat ini Allah memerintahkan orang yang beriman agar beriman. Bagaimana begitu? Tidakkah itu seakan-akan memerintahkan apa yang sudah terlaksana?! Tidak!
Maksudnya seperti kata al-Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini: “Allah Ta’ala memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman agar masuk secara keseluruhan dalam segala syariat iman, cabang, rukun dan tiangnya. Ini bukan suruhan agar melakukan perkara yang sudah tersedia, sebaliknya ia bermaksud lebih menyempurnakan yang sempurna, menetapkannya, mengukuhkannya dan berterusan atasnya”.

Dalam konteks UMNO, hendaklah mereka menghidupkan Islam dalam gerakannya kerana yang sedia ada itu tidak mencukupi.

Islamisasi Program
Di sini, saya tidak mahu bercakap tentang falsafah-falsafah politik yang besar-besar. Sudah saya sentuh isu-isu yang lebih prinsip dalam banyak tulisan saya yang lepas. Saya juga tidak berbicara untuk tujuan bagaimana UMNO ingin mengekalkan kuasa. Itu kerja orang politik. Saya bercakap untuk kepentingan setiap individu muslim yang ada dalam UMNO. Saya ingin mengajak orang UMNO berfikir secara ‘kampung’ sahaja. Saya harap orang UMNO jangan kecil hati, saya bermaksud ingin menceritakan ubat bukan untuk menambahkan penyakit.

Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: ‘anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar.
Saya rasa agak sukar ungkapan seperti itu ditemui. Jika adapun mungkin kes terpencil bukan fenomena umum. Saya jumpa ramai orang yang ingin kembali menghayati Islam, kebanyakan mereka tidak akan memilih UMNO. Sama ada mereka memilih organisasi atau gerak kerja Islam yang lain, atau pertubuhan politik yang lebih ‘mensepandukkan’ lambang Islamnya.

Secara jujur, akuilah iklim dan suasana islamik tidak cukup kuat dalam UMNO untuk mereka yang ada semangat Islam rasa selesa boleh menumpang atau mengambil manfaat. Namun saya tidak menafikan UMNO juga ada membuka dan mengusahakan pelbagai ruang untuk Islam dalam kerajaannya. Itu kerajaan, namun di sudut parti jika ada program-program Islamik dalam UMNO ia amat terhad.

Lebih menyedihkan lagi berputar sekitar ‘kenduri tahlil’, barzanji, kenduri arwah dan yang sewaktu dengannya. Di samping program-program itu boleh dipertikaikan sejauh manakah tuntutan Islam mengenainya, ia juga tidak memberikan impak yang dapat merubah peribadi atau meninggalkan kefahaman dan penghayatan seseorang individu muslim. Seseorang aktif dalam sesuatu pertubuhan atau organisasi atas dua kepentingan, sama ada untuk dirinya atau masyarakat. Atau, boleh juga disebut kerana ikhlas tanpa kepentingan atau ‘ada udang di sebaliknya mee’. Untuk menjadikan seseorang ikhlas, bagi muslim agama adalah faktor penting.

Apabila kita merasakan gerakerja itu ibadah, jika tiada keuntungan pun kita akan buat, harta sanggup berikan, nyawa sanggup kita taruhnya. Inilah kekuatan organisasi Islam. Sekalipun sebahagian yang bernama Islam itu pada hakikatnya tidak Islamik, namun apabila mereka berjaya mencetuskan suasana yang Islamik, ramai yang tertarik. UMNO hendaklah jujur terhadap Islam zahir dan batin.

Hidupkan program-program Islam dalam UMNO. UMNO kena galakkan pengajian dan suasana ilmu dalam UMNO. Hidupkan pendekatan Islam yang tulen, matang dan progresif. Sehingga setiap yang masuk akan terasa perubahan diri, sikap, pemikiran dan akhlaknya. Jadikan ibubapa akan rasa seronok jika anaknya aktif UMNO kerana nanti nilai-nilai ketinggian budi, kematangan pemikiran, keutuhan ilmu akan terzahir pada kehidupannya.

Tokoh-tokoh pemikir yang baik, jujur dan progresif hendaklah dijadikan tonggak pengisian UMNO. Jangan paksa atau ajak ulama masuk UMNO, tetapi ambillah pendapat dan cadangan yang baik daripada para ulama yang ikhlas, progresif dan tidak berkepentingan. Jika hal itu dapat digarabkan ke seluruh pelusuk masyarakat melayu, penghayatan Islam akan meningkat, secara tidak langsung mudah-mudahan Allah memberikan kebaikan kepada niat yang jujur ini. Jika pun UMNO tidak menang pilihanraya, UMNO boleh menang pahala mengajak masyarakat menghayati Islam dan persepsi negatif akan dapat dikikis.
Imej UMNO sering dikaitkan dengan kurang islamik. Di sudut kefahaman UMNO dikatakan kurang faham Islam. Walaupun sebahagian pihak yang mendakwa itu, kefahaman mereka belum juga tentu betul dengan Islam tulen yang dibawa oleh Nabi S.A.W.

Sebaliknya sebahagian mereka yang mendakwa itu sekadar memahami Islam berdasarkan rekabentuk atau rupa paras yang dicorakkan oleh organisasi atau parti mereka. Tafsiran mereka berdasar tuntutan semasa politik mereka. Namun apapun, imej Islam itu dikaitkan dengan mereka samada ia benar atau disalahgunakan.

Tidak dengan UMNO, sedangkan ruang menonjolkan Islam yang tulen serta progresif begitu diperlu oleh umat manusia terutama dalam negara kita ini. Bukan semesti pemimpin UMNO kena tukar jadi ulama. Banyak organisasi dakwah atau Islam tidak dipimpin oleh mereka yang bertaraf ulama, tetapi diakui nilai islamik mereka.

Jangan UMNO takut kehilangan undi bukan Islam, itu satu kesilapan. Islam jika ditonjolkan secara adil dan bijaksana ia akan menarik hati semua pihak. Masyarakat ingin melihat nilai akhlak dan budi yang baik. Dalam soal Islam, UMNO mestilah bebas dari unsur kemelayuan, kerana Islam agama sejagat. Jika Islam yang universal itu ditonjolkan, bukan sahaja boleh memikat perasaan mereka, bahkan mungkin menjadi dakwah untuk mengajak mereka kepada Islam.

Mungkin ada yang menganggap mustahil hal ini boleh berlaku dalam UMNO. Walaupun saya secara peribadi bukan ahli UMNO, namun pernah cuba membaiki dan menguatkan pegangan Islam dalam Kerajaan UMNO Perlis ketika saya menjadi Mufti Perlis. Alhamdulillah, saya melihat ada kesannya yang bukan sedikit.

Ramai pemimpin ketika itu yang menjadi peminat pengajian ilmu sehingga program-program wakil rakyat dipenuhi dengan pengisian ilmu. Lantas, perjalanan kerajaan pun ditekankan soal penghayatan Islam. Orang kampong keluar berduyun-duyun tanpa dipaksa apabila saya dan kepimpinan kerajaan pergi ke masjid-masjid atau majlis untuk berucap. Hubungan hati antara kerajaan dan rakyat menguasai suasana.

Maka, kesan tidak langsung ketika itu rakyat tidak membuang UMNO di Perlis, walaupun disingkirkan di Kedah yang bersebelahan dengannya. Namun, bukanlah agenda saya untuk memenangkan UMNO dalam pilihanraya, tapi agenda saya ialah dakwah. Saya inginkan Islam itu subur dalam semua organisasi termasuklah UMNO.

Dakwah ini merentasi sempadan parti dan organisasi. Justeru itulah saya menasihati UMNO. Nabi s.a.w pernah menghantar surat Hercules berbunyi:
“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Hercules Pembesar Rom, salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Seterusnya, aku menyeru kamu dengan seruan Islam, terimalah Islam nescaya kamu selamat. Allah akan memberikan kamu dua ganjaran. Jika kamu enggan, kamu menanggung dosa rakyat bawahanmu. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Menjejaki sunnah itu, maka saya katakan kepada UMNO, lakukan proses islamisasi politik secara bersungguh-sungguh, nescaya kamu selamat!

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
04 Oktober 2009

Isnin, Oktober 12, 2009

Nampak Kuat Agama Tapi Masuk Neraka

Disiarkan pada Oct 11, 2009 Oleh: Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Menarik untuk dikongsi bersama...moga ada iktibar... Insya Allah!

Untuk membuat penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil bukanlah mudah. Dalam kehidupan ini ramai orang selalu membuat kesimpulan daripada penampilan atau faktor luaran yang mereka lihat semata. Penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil berbeza dengan sangkaan baik. Umpamanya, apabila kita melihat mereka yang kuat bersolat, atau berpuasa maka sudah pasti kita wajar bersangka baik terhadapnya.

Namun dalam masa yang sama kita tidak akan membuat kesimpulan bahawa dia adalah pasti ahli syurga, atau pasti orang yang kuat berpegang dengan agama, atau seorang yang soleh. Ini kerana solat dan puasa memanglah amalan yang baik dalam Islam, tetapi Islam bukan sahaja berkaitan soal solat dan puasa, sebaliknya Islam merangkumi pelbagai sudut kehidupan.

Jika dia kuat solat dan puasa, tetapi dalam masa yang sama kuat memaki dan mencerca orang, atau menderhakai ibubapanya, atau tidak amanah, atau menzalimi orang lain dan seumpamanya, maka dia bukannya orang yang soleh dalam ertikata sebenar dalam Islam. Tidakkah kita selalu membaca hadis: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

Pendusta Agama
Dalam hadis lain Nabi s.a.w menceritakan tentang akhir zaman ada para pembaca al-Quran kerana hendak dapat untung. Ini dapat kita lihat dalam negara kita mereka yang memakai ‘pakaian agama’ dan mengutip wang daripada orangramai kononnya kerana hendak membuat penghantaran pahala kepada si mati. Mereka membuat untung yang besar saban tahun atas nama al-Quran dan orang menganggap mereka melakukan kebaikan sedangkan Nabi s.a.w menyindir perbuatan ini dengan sabdanya: “Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam sejarah ramai mereka yang menampil watak ‘agama’ tetapi sebenarnya penjenayah agama. Antara yang terkenal ialah Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam yang mencipta hadis-hadis dusta kononnya kerana ingin mendapat pahala dengan diadakan hadis-hadis fadilat itu dan ini khususnya tentang surah-surah al-Quran. Dia digelar Nuh al-Jami’ bermaksud Nuh yang menghimpunkan. Ini kerana dia menghimpunkan ilmu daripada berbagai tokoh-tokoh besar. Namun al-Hafiz Ibn Hibban menyatakan: “dia menghimpunkan segalanya, kecuali cakap benar”. (lihat: al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, 185, Beirut: Dar al-Fikr).

Pada zahirnya, dia tokoh agamawan namun pada hakikatnya dia sebenarnya pendusta agama. Bukan sedikit orang yang sepertinya dalam sejarah pengumpulan hadis. Kata seorang tokoh pengkaji hadis, Dr. Hammam Sa`id: “Telah zahir golongan ahli ibadat, zuhud dan nussak (penumpu penuh ibadah). Kejahilan dan kebodohan mereka telah membawa mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam fadhilat-fadhilat amal, fadhilat surah-surah al-Quran dan solat-solat sunat, untuk menggalakkan orang ramai beramal. Seperti juga mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam menakut orang ramai terhadap maksiat. Mereka menyangka mereka telah membela Islam. Golongan yang jahil ini tidak tahu bahawa pendustaan ke atas RasululLah s.a.w boleh menurunkan mereka ke dalam tingkatan-tingkatan yang paling bawah dalam neraka jahannam” (Hammam `Abd al-Rahim Sa`id, Al-Tamhid fi `Ulum al-Hadith, m.s. 140, Jordan: Dar al-Furqan).

Ini kerana tindakan mereka telah menipu atas nama Nabi s.a.w dan merubah wajah asal agama. Jika dilihat atau dinilai pada zahir ibadah dan pakaian mereka, tentu kita menyangka mereka golongan yang soleh, tetapi di sisi agama mereka adalah para pendusta yang termasuk dalam sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Khawarij
Dalam sejarah pertelingkahan umat Islam kelompok yang paling kuat dan awal menggunakan isu agama untuk mengkafirkan orang Islam yang lain ialah Puak Khawarij. Kelompok ini Nabi s.a.w sifatkan seperti berikut: “..Seseorang kamu akan merasa lekeh solatnya dibandingkan solat mereka, merasa lekeh puasanya dibandingkan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran, namun al-Quran itu tidak melebih halkum mereka. Mereka tersasar keluar dari agama seperti anak panah tersasar dari sasarannya..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Inilah Khawarij yang kelihatan hebat dalam ibadah dan pidato agama mereka dengan menggunakan nas-nas al-Quran. Mereka mengkafirkan orang Islam yang melakukan maksiat, juga mengkafirkan orang Islam yang tidak mengikut kumpulan mereka. Puak Khawarij ini mengangkat slogan: “Tidak ada hukum melainkan hukum Allah”. Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran, tetapi dengan tujuan yang buruk. Kata Saidina Saidina ‘Ali bin Abi Talib kepada mereka: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Dengan slogan al-Quran “Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka itu orang-orang yang kafir” (Surah al-Maidah, ayat 44), maka mereka melancarkan kempen mengkafirkan dan memerangi orang Islam. Atas andaian yang tipis maka dengan mudah seseorang dijatuhkan hukuman murtad dan kafir.

Hasilnya, pertumpahan yang dahsyat berlaku pada zaman pemerintahan Saidiyyida ‘Ali bin ‘Abi Talib. Selepas zaman ‘Ali pun, pemikiran Khawarij meresap ke dalam berbagai kumpulan dan organisasi. Hasilnya, kita mendengar isu kafir mengkafir muncul di pelbagai zaman dan tempat di seluruh pelusuk dunia Islam.

Pada zahirnya puak ini berwajah agama, namun pada hakikatnya Nabi s.a.w menyebut tentang mereka: “Mereka itu berucap dengan ucapan sebaik-baik makhluk. Mereka tersasar keluar dari Islam seperti anak panah tersasar dari sasarannya. Iman mereka tidak melebihi halkum mereka. Di mana sahaja kamu temui mereka maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya membunuh mereka itu ada pahala pada Hari Kiamat” (Riwayat al-Bukhari).

Demikian getirnya kelompok ini. Sekalipun dengan ungkapan dan nas agama di mulut mereka, namun Nabi s.a.w memerintahkan agar pemerintah Islam membunuh mereka kerana mereka mengkafirkan bahkan sesetengah kelompok mereka seperti al-Azraqiyah membunuh orang Islam, anak kecil dan wanita yang tidak mengikut kumpulan atau jamaah mereka. Dengan ini menyedarkan kita semua, di samping kita bersangka baik kepada golongan yang menzahirkan ciri-ciri agama, kita sayangkan mereka dan menghormati mereka, namun kita juga mestilah berhati-hati dengan tindakan setiap individu dan kumpulan.

Janganlah penampilan zahir menyebabkan kita membuta mata atau memandulkan akal dari membuat penilaian yang matang dan seimbang. Apa yang baik kita kata baik, apa yang salah tetap dinilai salah tanpa mengira dari mana dan siapa kesalahan itu datang. Namun jika golongan tertentu menzahirkan ciri-ciri agama dan memegang prinsip agama dalam seluruh perjalanan mereka, maka merekalah golongan yang kita cinta dan kita bela dengan sepenuhnya.

Perhimpunan Agong UMNO Malaysia 2009

Salam Perjuangan......

Perhimpunan Agong Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan UMNO Malaysia akan berlangsung pada 13hb Okt - 17hb Okt 2009 bertempat di PWTC Kuala Lumpur.

Saya yang merupakan Perwakilan Pemuda Bahagian Maran berbesar hati untuk menjemput rakan-rakan Pemuda di Bahagian Maran untuk bersama-sama memeriahkan perhimpunan tersebut. Jumpa disana!

Selasa, September 08, 2009

Dasar Ekonomi Baru

1. Saya berasa amat sedih kerana terdapat ramai daripada Melayu yang terpelajar menolak Dasar Ekonomi Baru kononnya DEB menguntungkan hanya segelintir daripada kroni pemimpin Kerajaan terutama semasa saya menjadi Perdana Menteri.

2. Mereka ini cuma nampak beberapa kerat peniaga dan pengusaha Melayu yang berjaya. Pendapat mereka ialah semua yang berjaya tentulah kerana mereka kroni, terutama kroni Perdana Menteri. Kata mereka kejayaan Melayu bergantung bukan kerana apa mereka tahu tetapi siapa mereka tahu. Ayat ini datang daripada kecaman orang tertentu yang asalnya dalam bahasa Inggeris iaitu, "It is not what you know but who you know", yang memberi kejayaan. Penggunaan ayat ini oleh orang Melayu sendiri membuktikan betapa mudah minda mereka dipengaruhi oleh orang lain supaya mereka sendiri akan memburukkan diri mereka.

3. Sebelum saya bincang samada benar atau tidak benar tuduhan ini, izinkan saya jelas sedikit akan Dasar Ekonomi Baru.

4. Matlamat ringkas DEB ialah;
a. Membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum
b. Menghapuskan identifikasi kaum dengan fungsi ekonomi

5. Semasa DEB dilancar kemiskinan dalam Negara adalah lebih daripada 40 peratus. Hari ini kemiskinan telah turun pada lima peratus. Matlamat pertama jelas telah tercapai. Majority daripada yang miskin adalah Melayu dan Bumiputera lain.

6. Bagi matlamat kedua, kejayaan yang terbesar DEB ialah dalam bidang pelajaran. Ramai Bumiputera telah mendapat peluang dalam bidang-bidang profesional sehingga dalam bidang perubatan daripada hanya 8-10 peratus sahaja doktor perubatan yang terdiri daripada Melayu dan Bumiputera, sekarang bahagian mereka berjumlah 40 peratus. Ramai yang menjadi pakar.

7. Demikian juga dalam profesyen lain, pensyarah dan profesor dalam universiti.

8. Jumlah mereka beratus ribu. Apakah mereka yang mendapat pelajaran sehingga ke universiti semuanya daripada keluarga yang kaya yang ada hubungan dengan pemimpin Kerajaan? Apakah mereka mampu mendapat pelajaran ini tanpa DEB? Apakah bagi mereka ini DEB tidak berguna?

9. Berkenaan agihan saham dibawah DEB. Apabila ramai individu Bumiputera mendapat saham dari IPO (Initial Public Offer), semuanya menjual saham dengan serta-merta. Kemudian mereka pohon untuk saham baru.

10. Keuntungan daripada jualan saham dihabis secara hangus.

11. Kerajaan boleh hentikan agihan saham pada Bumiputera. Tetapi ini akan menjadikan syarikat yang tersenarai tidak dimiliki sahamnya oleh Bumiputera sama sekali.

12. Oleh itu ditubuhnya Permodalan Nasional Berhad yang akan membeli saham Bumiputera, memasukkannya dalam unit trust (saham amanah) untuk dijual kepada semua Bumiputera kalaupun mereka boleh labur hanya RM10 sahaja.

13. Melalui sistem amanah saham PNB hari ini lebih lapan juta Bumiputera memiliki saham dalam syarikat-syarikat besar. Diadakan had jumlah yang boleh dimiliki oleh seseorang supaya yang kaya tidak bolot terlalu banyak saham.

14. Tanpa DEB tidak mungkin begitu ramai Bumiputera memiliki saham syarikat-syarikat gergasi. Dapatkah kita tolak DEB kerana hanya menguntungkan kroni sahaja. Tidak adakah orang lain yang juga dapat manfaat.

15. Sekarang berkenaan Bumiputera yang kaya raya. Jumlah mereka sudah beribu. Hampir semua mereka mendapat peluang daripada Kerajaan. Sebab?

16. Sebabnya ialah hanya Kerajaan dan agensi-agensinya sahaja yang memberi peluang kepada mereka. Umpamanya, tidak ada kontraktor Bumiputera yang dapat kontrak daripada orang lain. Kerajaan melayan mereka kerana DEB.

17. Apakah mereka terdiri daripada kroni? Mereka yang berjaya pada mulanya mendapat peluang kecil-kecilan daripada Kerajaan. Jika mereka jual peluang ini, samada kontrak, lesen, AP atau permit lain, mereka tidak akan dapat peluang berkali lagi.

18. Bagi yang tidak jual, yang usaha sendiri dan membuktikan kebolehan mereka memangpun mereka patut diberi lebih banyak lagi peluang. Justeru itu ada yang amat berjaya hingga menjadi jutawan.

19. Apakah mereka kroni? Memang yang berjaya akan dikenali oleh ramai termasuk Perdana Menteri. Kalau nak elak daripada ada yang dianggap sebagai kroni, caranya ialah dengan menentukan tidak ada sesiapapun daripada Bumiputera yang akan berjaya. Ini mudah sahaja. Sesiapa yang Nampak Berjaya jangan bagi kontrak, atau lesen lagi.

20. Walaupun demikian adalah diakui ada yang ditolong secara keterlaluan oleh Menteri. Tetapi jumlah mereka tidak ramai.

21. Apakah kerana penyelewengan yang sedikit ini kita harus tolak DEB? Kata Mat Salleh, "Do you throw out the baby with the water in the wash basin?"

22. Jika kita buat perhitungan yang ikhlas kita akan akui yang DEB memanfaatkan bukan segelintir tetapi berjuta-juta Bumiputera. Amatlah menyedihkan apabila ada Bumiputera yang juga mendapat menfaat dari DEB yang begitu sekali ingin mendapat label "liberal and non-racist" dengan cuba menghapuskan orang sebangsa mendapat peluang dari DEB.
Dr. Mahathir Mohamad
5 September 2009 2:30PM
(Petikan dari blog Chedet.com)

Isnin, Ogos 10, 2009

Parti Kuasa Akar Umbi!

Salam Perjuangan.....
Seperti yang kita sedia maklum, satu perhimpunan Agung Khas UMNO bagi meminda perlembagaan akan diadakan pada Oktober ini, dan Insya Allah ianya merupakan sesuatu proses yang amat positif, suatu proses yang mengangkat martabat ahli, yang mana ahli merasa bahawa mereka turut bertanggungjawab kepada UMNO dan UMNO adalah milik ahli-ahlinya, maka timbullah rasa saying dan cinta pada perjuangan UMNO, yang mana ahli dihargai pemimpin dan pemimpin dihargai oleh ahli.

Apa yang dilakukan oleh UMNO kini adalah untuk mengangkat suara dan peranan akar umbi kesuatu tahap dimana sesuatu keputusan atau hala tuju parti keramat ini, adalah hasil dari isi hati dan kehendak orang melayu yang mahukan UMNO berubah.

UMNO ingin membuktikan bahawa ia adalah parti yang sebenar-benarnya berbeza, UMNO adalah parti yang lain dari yang lain! Ianya sentiasa berkembang, sentiasa relevan dan sesuai pada setiap zaman. Bukti bahawa UMNO itu sentiasa jelas! Bukti yang UMNO itu telus didalam wadah perjuangannya!

Pindaan ini jelas menyahut saranan akar umbi lantas menafikan cakap-cakap bahawa UMNO ini dikuasai oleh golongan tertentu. Sebaliknya UMNO adalah parti yang berani memberi kuasa sekali lagi kepada akar umbinya. Kembali kepada asas pejuangan parti, yang mana UMNO dibentuk hasil dari suara akar umbi, dibentuk oleh orang-orang melayu demi menjaga agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Kita seharusnya bangga apabila Perdana Menteri yang kita kasihi, Dato Seri Mohd Najib, dengan penuh sifat keprihatinan dan berjiwa rakyat, bilamana beliau dengan rasa rendah diri, walaupun baru menjadi Presiden tetapi telah membuka suatu ruang yang cukup besar demi mengangkat suara akar umbi kembali ketempat asalnya, mengembalikan kuasa itu kepada ahlinya.

Dengan adanya pindaan ini, maka kita yakin amalan politik wang akan mampu dicegah dan dibenteras. Jumlah perwakilan yang ramai, memustahilkan untuk berlakunya politik wang! Dalam masa yang sama, membersihkan imej parti di mata rakyat keseluruhannya!

Secara keseluruhannya cadangan pindaan perlembagaan ini adalah suatu yang amat baik didalam meneruskan kelangsungan UMNO didalam memastikan parti keramat ini terus relevan. Ini membuktikan bahawa UMNO, sentiasa berada selangkah awal dari parti-parti yang lain didalam memastikan ianya kekal dominan bersesuaian dengan UMNO yang merupakan tunjang kerajaan dan tunjang kekuatan Barisan Nasional. Usaha UMNO bagi terus kekal sebagai wadah yang mengutamakan perjuangan Islam, perjuangan Melayu dan perjuangan mempertahankan tanahair tercinta.

Sebagai ahli-ahli parti yang setia, sebagai pewaris perjuangan, kita seharusnya tidak berprasangka, tidak memandang serong, tidak sinis kepada usaha-usaha murni sebegini. Walaupun pindaan tersebut terdapat beberapa kekaburan dari segi implimentasi misalnya, tetapi apa yang mustahak adalah kesungguhan, kepercayaan, keazaman yang ditunjukkan oleh YAB Presiden kita yang secara ikhlas mahukan UMNO ini terus maju dengan tercadangnya pindaan perlembagaan tersebut.

Sewajarnya kita sebagai orang melayu yang sentiasa sayangkan UMNO dan ahli parti yang penuh sikap kebertanggungjawaban, kita mesti memberikan pandangan dan ulasan kepada cadangan tersebut. Namun didalam memberikan pandangan kita tetap akur, kita tetap menerima apa jua keputusan yang tentunya keputusan tersebut adalah keputusan majoriti kerana parti ini adalah untuk mereka-mereka yang sayangkan agamanya, sayangkan bangsanya dan sayangkan negaranya.

Khamis, Julai 30, 2009

Keazaman membela rakyat

PERBUALAN ringkas penulis dengan beberapa orang teman semalam tertumpu kepada pengumuman Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun mungkin masih diulit rasa teruja dengan pelbagai terma pentadbiran dan cita-cita dasar yang baru - majoriti daripada mereka menganggap usaha ini sebagai sesuatu yang baik dan dialu-alukan.

Apa pun asas nilaian yang diberikan oleh kumpulan anak muda ini, mereka nampak selesa dan yakin dengan keberanian kepimpinan negara. Yakin bahawa dengan adanya "kayu ukur" dan "sistem nilaian" yang nyata; khususnya dengan pengumuman NKRA - mereka akan mempunyai kebebasan untuk menilai.

Kepada mereka, sebuah kerajaan yang baik, mestilah mampu menterjemah "idealisme" kepada pelaksanaan. Bukannya sekadar berada dalam dunia utopian yang tidak kesampaian. Ataupun sekadar menjadi kerajaan yang "lemah, reaktif dan mendodoi rakyat dengan omongan politik". Ataupun kerajaan yang sekadar bijaksana dalam memberi 'cakap angin' kepada kehendak perubahan.

Untuk sebuah kepimpinan yang secara relatifnya baru, berani hadir dan tampil dengan perincian prestasi seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri setidak-tidaknya mendapat perhatian orang muda. Mereka, yang sudah sekian lama terbiasa dengan perincian prestasi di tempat mereka bekerja, berasa senang hati dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan itu.

"Kali ini, kami boleh buat perbandingan. Yang mana sekadar bercakap tetapi tidak jujur dengan usaha 'pembaikan' akan terkena pada pilihan raya akan datang," ujar seorang teman penulis, seorang eksekutif kanan di sebuah firma antarabangsa.

Francis Fukuyama dalam bukunya, State Building, Governance and the World Order in 21st Century, menyebut tentang keperluan state strengthening. Kerajaan mesti diperkuatkan dengan pembaikan kapasiti pentadbiran, ketelusan dan kecekapan pengurusan sektor awam.

Dengan mempunyai NKRA yang jelas, tidak ada alasan sebenarnya untuk wujudnya kecacatan 'pelaksanaan' buat kali ini. Kali ini, sektor awam mestilah juga bersedia menjadi "rakan pelaksana" kepada hasrat kerajaan.

Setidak-tidaknya, pada pandangan penulis, usaha kerajaan kali ini akan menampilkan gelombang penerimaan positif rakyat.

Sebagai rakyat dan juga pengundi, majoriti mereka hanya mahukan sebuah kerajaan yang mampu dan wibawa. Kerajaan yang berani melakukan perubahan dan bertindak demi kepentingan rakyat. Kerajaan yang boleh memberi 'tawaran baru' kepada mereka.

Kerajaan yang mampu menarik minat golongan muda adalah kerajaan yang mengutamakan tindakan dan mampu mengutamakan dasar. Kerajaan yang bijaksana menyusun dan merangka strategi untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Landskap politik yang ada pada ketika ini adalah suatu suasana yang sangat "sempurna" untuk rakyat membuat perbandingan. Sama ada di peringkat pusat atau negeri; rakyat boleh menilai. Siapa yang banyak bercakap, lambat bertindak dan siapa pula yang hanya menampilkan lagak sebagai 'pengurus' kepada sebuah cerita kejayaan yang ditempa oleh orang lain. Tawaran baru, yang kononnya menggunakan asas CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) misalnya, sudah mula menjunam teruk kredibilitinya.

Apa yang Perdana Menteri tawarkan adalah suatu "kerangka tindakan" yang perlu difahami oleh semua pihak. Kalau selalu diungkapkan bahawa "masa kerajaan tahu semua sudah berlalu" dan zaman "kerajaan buat semua" juga mesti secara perlahan-lahan perlu berlalu.

Kita rakyat biasa, tidak lagi boleh menjadi penumpang yang pasif dalam kembara sebuah bangsa yang hebat. Kita tidak boleh mempunyai sikap "menunggu bulan jatuh ke riba atau dayung sampai ke tangan" dalam mencari jejak perubahan. Kerangka tindakan lebih memerlukan penglibatan semua pihak sementara kerajaan dan agensi bertindak sebagai pemangkin.

Kesemua enam NKRA yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah 'berkait rapat' dengan keselesaan dan kesejahteraan rakyat. Bagi menjawab banyak keraguan yang kononnya kerajaan menampilkan pentadbiran 'sloganik', pengumuman NKRA sudah menafikan sama sekali pendapat demikian.

NKRA secara jelas menyatakan kehendak dan kemahuan kerajaan. Apakah ia keputusan popular? Popular atau tidak sudah menjadi kurang penting. Yang lebih utama, apakah setiap seorang daripada kita akan 'terkesan' dengan NKRA yang diumumkan oleh kerajaan.

NKRA berkaitan pengurangan jenayah misalnya adalah sesuatu yang sangat mendesak dan penting.

Usaha kerajaan untuk mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang 2010 adalah langkah yang ditunggu-tunggu. Siapa tahu, pengurangan jenayah jalanan mampu juga sebenarnya mengurangkan jenayah yang lebih bersifat sadis dan kejam.

Kita mesti bermula di sesuatu sasaran yang realistik dan inilah yang dihasratkan oleh NKRA. Penulis percaya, "gelombang cegah jenayah" ini tidak boleh berakhir di sebalik pagar balai polis atau ibu pejabat kontinjen semata-mata. Peranan masyarakat, badan bukan kerajaan dalam gerakan "kepolisan masyarakat" juga mesti diperkembang.

Pihak swasta juga perlu mengambil endah dan menyumbang kepada hasrat ini. Berapa banyak pemaju yang sanggup melaburkan sebahagian keuntungan mega mereka untuk proses pembaikan kawasan perumahan yang mereka majukan? Berapa banyakkah CCTV yang mampu mereka usahakan, sebagai hadiah keselamatan kepada pembeli?

Kerjasama semua pihak - kerajaan, swasta dan masyarakat sivil - inilah yang memastikan resipi NKRA dapat direalisasikan dengan lebih sempurna.

Langkah-langkah lain, seperti pengurangan rasuah, pendidikan, peningkatan taraf hidup rakyat, prasarana luar bandar dan pengangkutan awam juga terkait dengan rakyat secara umumnya. Walaupun pada hakikatnya pihak kerajaan akan menjadi pemegang taruh utama, peranan dan tanggungjawab rakyat juga masih penting dan utama.

NKRA berkenaan pendidikan misalnya memerlukan peranan banyak pihak. Pentadbir sekolah, para pendidik, PIBG, ibu bapa turut terlibat dengan usaha dan cita-cita yang besar ini.

Peningkatan taraf hidup rakyat melalui usaha pembasmian kemiskinan akan menjadi proses sehala sekiranya kerajaan sahaja yang beria-ia, tetapi tidak disambut baik oleh masyarakat secara umumnya. Ini semua memerlukan perubahan pemikiran dan tindakan. NKRA tidak sekadar menjadi pernyataan polisi yang pasif tetapi lebih kepada "kerangka tindakan" yang wajar dikongsi dan dihayati semua pihak.

Penulis hanya teringat dengan kecemerlangan kepimpinan Khalifah Umar ibni Abdul Aziz (khalifah Umayyah). Kepimpinan singkat Umar menghadirkan segala macam perubahan dalam masyarakat. Daripada suasana masyarakat Islam yang dibelenggu kemiskinan, Umar merubah suasana tersebut.

Malah dikatakan bagaimana prinsip pemerintahan Umar telah membuka ruang ekonomi yang lebih baik. Sejak awal pemerintahannya, Umar amat terbuka dengan pilihan dan kehendak rakyat. Umar meletakkan kepimpinannya dalam "sistem nilaian" rakyat.

"Pemerintah selalunya melantik pegawai untuk mengawasi rakyatnya. Aku melantik kamu untuk mengawasi diriku dan kelakuanku. Jika kamu mendapati aku melakukan kesalahan, bimbinglah aku atau halanglah aku daripada melakukannya." Begitulah antara kata-kata yang dilafazkan oleh Umar kepada rakyatnya.

Ketegasan, kesungguhan, komitmen dan iltizam Umar inilah yang memungkinkan pembangunan dapat dilaksanakan dengan jaya dan baik. Kesediaan meletakkan penilaian kepada rakyat juga menjadi asas kekuatan kepimpinan Khalifah Umar.

Pengumuman NKRA mempunyai persamaan niat dengan cita pentadbiran Khalifah Umar untuk melihat kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Agenda ketelusan sebenar yang ditawarkan oleh kepimpinan Perdana Menteri juga saling menjurus kepada usaha yang serupa.

Tidak keterlaluan, jika dalam jangka masa panjang, dengan kemakmuran yang berterusan serta sokongan dan dokongan rakyat, Najib mampu menjadi 'Khalifah Umar ibni Abdul Aziz' moden dalam semangatnya yang baru dan kontemporari.

Mungkin ada agaknya pimpinan pembangkang yang menyamakan dirinya dengan kepimpinan Khalifah Umar? Sayangnya, kepimpinan yang ditampilkan tidak telus; malahan jerlus dengan pelbagai perkara yang memualkan rakyat.

Pemimpin sebegini mungkin boleh berselindung di sebalik usaha menyalahkan orang lain, namun rakyat pasti akan mempunyai 'kayu ukur' berbeza nanti.

Keseluruhannya, enam NKRA yang diumumkan oleh kerajaan adalah "cita-cita pentadbiran" yang wajar dicerna dengan baik. Lebih penting lagi, rakyat pasti mengharapkan sinergi pentadbiran yang lebih efektif dan berkesan.

Bagi merealisasikan hasrat yang sedemikian besar, pastinya banyak usaha "silang kementerian" cross ministries dan "silang agensi" cross agencies yang perlu dilaksanakan.

Yang lebih penting, segala kehendak prestasi dan hasrat kerajaan ini dapat direalisasikan secara menyeluruh. Ini bukan masanya untuk kita bersikap 'sukar' untuk menerima rentak dan arus perubahan. Jika inilah yang terbaik buat rakyat; maka kita mesti berlapang dada dan berjiwa besar untuk menerima usaha kebaikan.

Jika kita menerima NKRA bukan sekadar sebagai "kertas laporan kerajaan dan kementerian" semata-mata tetapi lebih kepada hasrat untuk membina negara bangsa; ia akan lebih memberi makna dan keberkatan. Akhiran kepada semua niat ini adalah untuk kita menikmati hidup yang lebih sejahtera dan makmur.

Oleh REEZAL MERICAN NAINA MERICAN [Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia]

[Petikan daripada Utusan Malaysia 30 Julai 2009]

Rabu, Julai 29, 2009

Anda ialah Hamba kepada Tuhan atau Wakil Tuhan ?

Antara Wakil Tuhan dan Hamba tuhan, sangat jauh beza maksudnya!

Apabila disoal dan ditanyakan kepada saya, apa pendapat Islam di dalam sesuatu masalah, apa kata Quran ? apa kehendak Allah SWT ? Kenapa Allah SWT menjadikan...? Apa yang Allah SWT mahu ...? Saya jawab pada anda Wallahua'lam (Dan sesungguhnya Allah sahaja yang mengetahuinya)

Manusia yang merupakan hamba Allah SWT tidak wajar mengaku mereka ialah wakil-wakil Tuhan di atas muka bumi, mendakwa mengetahui apa yang dikehendaki oleh Al-Quran dan As-Sunnah dan merasakan mereka mengerti segala apa kehendak Allah SWT dan segala rahsia dan ajarannya.

Itu perkara mustahil ! Islam bukan seperti agama yang mendakwa paderi dan pendeta mereka bercakap sebagai wakil tuhan di atas muka bumi. Islam ialah agama yang diturunkan sebagai panduan hidup manakala kitab sucinya iaitu Al-Quran dan pertunjuk as-Sunnah Rasul menjadi panduan secara ilmiah serta dikaji dengan disiplin ilmu lalu dihuraikan untuk kegunaan manusia untuk hidup di dunia!

Sabda Nabi SAW: “Apa yang Allah halalkan dalam kitabNya maka halal. Apa yang Allah haramkan, maka haram. Apa yang Dia diamkan maka itu dimaafkan. Terimalah kemaafanNya. Kerana sesungguhnya Allah tidak pernah lupa sesuatu pun”. Lalu baginda membaca firman Allah (maksudnya): “Maka tidaklah Tuhanmu itu lupa” (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Darqutni, dinilai sahih oleh al-Albani).

Ramai sekali manusia hari ini, khasnya mereka yang mendalami ilmu agama terjebak ke dalam belitan syaitan apabila menjadi wakil tuhan lantikan diri sendiri bahkan mendakwa mengetahui siapakah yang sesat, yang salah dan siapakah orang yang jahat dan siapakah pula orang yang baik, mendakwa mengetahui segala isi luar dan dalam dan mendakwa boleh menjelaskan isi ilmu Islam hanya dengan beberapa helaian kertas atau buah buku yang pernah ditulisnya.

'Kuasa Menghukum' hanya Milik Allah SWT, sangat ramai manusia pada hari ini suka menghukum dan mencerca serta mengeji sesama sendiri. Menyangka keredhaan Allah SWT sudah terjamin milik mereka dan kemurkaan Allah pula adalah pasti milik lawan mereka. Tidak sekali, bukan dua kali bahkan lebih, apabila kita melihat penjenayah dan penjahat ditangkap lalu dihadapkan ke kandang bersalah serta dihukum dengan seberat-berat hukuman. Kita mengeji, mencela dan memaki hamun segala perkataan buruk yang kita mampu untuk memuaskan hati kita dengan menyangka Tuhan membenci hamba-Nya itu dan akan memberikan kebaikan dan kelebihan dengan perbuatan kita itu kerana membenci musuhnya.

Tuhan bukan seperti manusia, jauh sekali punyai hati dan berperasaan seperti kita, Yang Maha Esa berlaku adil dan pengasih terhadap semua makhluk-Nya disamping tegas dan berlaku gagah dan bengis terhadap musuh-musuh-Nya. Berjalan di bawah sunnatullah yang hanya diketahui oleh ilmu-Nya.

"Allah akan mengadili di antara kamu pada hari kiamat tentang apa yang kamu dahulu selalu berselisih padanya." (Al-Hajj : 69)

"Jika ada segolongan daripada kamu beriman kepada apa yang aku diutus untuk menyampaikannya dan ada (pula) segolongan yang tidak beriman, Maka bersabarlah, sehingga Allah menetapkan hukumnya di antara kita; dan Dia adalah hakim yang sebaik-baiknya." (Al-A'raf : 87)

Kenapa kita sebagai manusia yang lemah terlalu cepat mahu menghukum sesama manusia? Begitu tangkas dan cepat kita melayani orang lain dengan persepsi dan tanggapan kita dan seringkali kita menjatuhkan hukuman kepada orang lain tanpa menyelidiki serta menilai segala aspek menyeluruh.

Pada kita ialah apa perlu susah dan perlu penat menyelidiki ? cukuplah aku menilai dengan apa persepsi dan pendapat aku. Benar hanya pada kita, namun sekiranya hukuman anda itu mempengaruhi hidup orang lain ? Bayangkan betapa besar tanggungjawab dan kesan yang perlu dipikul. Anda seorang wanita, bekerja di pejabat kerajaan, didatangi oleh seorang lelaki yang tidak berpakaian kemas, bagi meminta sesuatu khidmat di hujung waktu pejabat ( 5. 15 PM) . Reaksi mudah anda, sila datang lagi esok kerana anda berpendapat urusan ini tidak penting !! (tanggapan anda) juga anda menilai lelaki ini tidak wajar untuk mendapatkan masa-masa akhir anda yang berharga yang wajar anda gunakan untuk mengemas barang untuk pulang ke rumah. (hukuman anda kepada lelaki itu !!) Anda boleh membantu lelaki tersebut tetapi anda memilih untuk tidak membantu !! (hukuman anda dan juga pilihan anda menentukan nasib anda di masa depan dan dinilai oleh Tuhan) Nah, hakikatnya lelaki itu kusut masai sebab dirundung masalah dan kesusahannya semakin bertambah akibat keputusan anda.

Bayangkan sendiri situasi-situasi getir yang lain.Tidak perlu menjadi dukun, meramal situasi orang lain sebaliknya anda cuma perlu memperbaiki situasi diri anda dan keadaan yang berlaku dengan beramal sebagai manusia yang baik setiap masa, di mana-mana dan suka membantu dan merahmati orang lain. "Melayani orang lain seperti mana anda ingin diri anda dilayani."

Semua orang melakukan dosa, perbezaannya cuma dosa yang mana dan dosa yang bagaimana ?Ustaz, saya banyak dosa demikian pengakuan seorang rakan, Alhamdulillah (segala puji bagi Allah swt) yang telah menjadikan hamba-hamba-Nya menyedari dosa-dosa mereka dan mahu memohon ampun. Sekurang-kurangnya wujud ramai lagi manusia yang merasa mereka tidak berdosa, tidak pernah membuat dosa dan mustahil akan berbuat dosa. Tidak perlu mengakui dosa anda kepada saya, saya bukan wakil tuhan ! Saya mungkin dapat memohon keampunan tuhan untuk anda tetapi lebih makbul dan utama jika anda sendiri yang memohonnya dan paling penting serta jangan lupa bahawa saya sendiri punyai dosa dan bahkan lebih banyak dari anda.

Siapa pula di dalam dunia ini yang tiada dosanya ? Lalu kalau ustaz dan ulama pun terdedah kepada dosa dan boleh melakukan dosa maka siapa pula yang bersih serta suci untuk mengakui dirinya sebagai wakil tuhan ? jurucakap bagi Tuhan dan wakil agama Islam yang mulia ?Hanya mereka yang tidak sedar diri... Ini tidak mustahil berlaku khasnya kepada golongan yang menyangka mereka di jalan perjuangan dan "pendakwahan". Apabila berdosa dan terlanggar batasan mereka akan mengatakan tidak mengapa kerana Allah Maha Pengampun lagi pun kerana matlamat yang mereka tuju lebih besar dan lebih hebat, jadi terlanggar sikit-sikit hukum Tuhan, mencederakan hak-hak sesama Islam dan mencerobohi maruah seorang Muslim tidak sebesar mana dibandingkan dengan beban perjuangan yang mereka bawa serta pikul.

Ini bencana dari belitan Syaitan. Para Sahabat r.a yang bersama Rasulullah SAW sewaktu berperang dan berjuang mempertahankan Islam, berjihad dan bertempur gagah mengangkat daulah (kerajaan) Islam Madinah juga tidak terlepas dari di didik dan dihukum oleh Baginda di atas kesilapan dan kesalahan.

Di dalam sebuah hadis: "Ada mengisahkan perihal seorang perempuan yang hendak direjam di atas kesalahan zina, Lalu datang Khalid bin Al-Walid membawa sebuah batu, dan melempar perempuan itu tepat pada kepalanya. Darah dari kepala perempuan itu memancut sehingga mengenai muka Khalid, sehingga Khalid mencela perempuan itu. Maka Rasulullah berkata: "Tenanglah wahai Khalid. Demi yang jiwaku berada di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya perempuan ini telah bertaubat dengan taubat yang jika dilakukan oleh seorang yang zalim pun nescaya akan diampunkan lalu baginda memerintahkan supaya mayat perempuan itu diuruskan dan baginda bersolat ke atas jenazahnya dan mengebumikannya." (Hadis sahih riwayat Muslim)

Begitu juga kisah para sahabat yang datang kepada Rasulullah bagi mengakui kesalahan-kesalahan mereka yang lain. Pokoknya, memperjuangkan Islam tidak bermakna anda akan terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Oleh itu hentikan sikap suka mencela dan menyalahkan orang lain seolah-olah kita tidak pernah membuat kesilapan dan kesalahan.

Membolak-balik hati manusia itu urusan Allah, pada hari ini kita mungkin dipermudahkan oleh Allah swt untuk melakukan segala kerja-kerja kebaikan tetapi tidak bermakna pada hari hadapan kita tetap akan istiqamah (berterusan) menjadi baik dan melakukan hal yang baik-baik. Segala kejahatan yang kita dengar di kaca TV dilakukan oleh manusia yang bernafas, berfikir dan berotak seperti kita hanya "kawalan dan pilihan" yang membezakan situasi kita dan mereka.

Hadith dari riwayat Ibn Mas’ud ra yang menyebut Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap dari kamu yang mula terbentuk jasadnya dalam perut ibunya selama 40 hari maka kemudian akan menjadi segumpal darah dan kemudian menjadi pula ketulan daging lalu Allah mengutuskan padanya malaikat untuk meniupkan pada jasad itu akan ruh dan menulis empat perkara : iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya dan pengakhirannya apakah bahagia atau celaka dan demi zat yang tiada yang berhak disembah selain-Nya sesungguhnya sekiranya sekalipun ada di kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga seolah-olah antara dia dan syurga itu cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis bahawa dia di kalangan ahli neraka maka nescaya dia selepas itu akan beramal dengan amalan ahli neraka lalu masuk ke dalamnya dan tidaklah seorang itu melainkan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dirinya dengan neraka cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis dirinya sebagai ahli syurga maka dia kemudiannya akan beramal dengan amalan ahli syurga lalu masuk ke dalamnya” (Hadith sahih isnad melalui pensyaratan syaikhan diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dan Ahmad).

Penjenayah rogol dihadapkan ke mahkamah di kaca TV mungkin bermula sebagai pegawai atau eksekutif atau pemuda seperti kita. Berpeluang bersama wanita di dalam lif atau pejabat tanpa ada kehadiran orang lain " tidak mampu mengawal nafsu dan gagal membuat pilihan yang betul" telah menjerumuskan kepada tindakan yang salah dan berakhir dengan tragedi yang buruk.

Pembunuh kejam dan sadis, pada awalnya mungkin seorang pak cik peramah dan lelaki yang disayangi oleh keluarga atau bapa yang manja dengan anak-anak, hanya kerana gagal mengawal diri dan tidak mampu memilih menyebabkan dia sanggup menetak si pemungut hutang sepuluh tetakan gara-gara cakapnya yang menghina, menjatuhkan maruah atau ugutan yang menyakitkan hati.

Apakah semua ini tidak pernah terjadi di dalam hidup kita? Bersyukurlah kepada Allah SWT, kita mungkin belum di uji sebegitu ....tidak bermakna akan terselamat dari akan mengalaminya. Seperti yang terdapat dalam hadith dari riwayat Anas bin Malik r.a yang berkata bahawa Baginda Rasulullah SAW kerap membaca doa: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu” maka para sahabat pun bertanya apakah hati itu boleh dibolak-balik ? Maka Baginda pun menjawab : “ Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari Allah dan Dia (Allah) membolak-balikkannya sebagaimana yang dikehendaki-Nya” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2140 dan Ibn Majah no.3834).

Jadilah hamba yang penyayang kepada Allah Yang Maha Penyayang, manusia seperti saya yang banyak berdosa, mengharapkan agar saya dapat menjadi hamba Allah bukan malaikat atau wakil tuhan yang perlu saya tundukkan kepala, saya perlukan makhluk setaraf seperti saya agar saya dapat bergaul, berkawan dan menjalinkan persaudaraan. Sabda Rasululah SAW: "Orang-orang yang penyayang, mereka itu akan disayangi oleh Allah Tabaaraka wa Ta'ala (Yang Maha berkat dan Maha Tinggi), oleh kerana itu sayangilah orang-orang yang di muka bumi, nescaya zat yang di atas langit akan menyayangi kamu". (Hadis Sahih. Diriwayatkan oleh Abu Dawud No. 4941. Ahmad 2/160. Hakim 4/159. dari jalan Abdullah bin 'Amr bin 'Ash. Hadis ini telah disahihkan oleh Imam Hakim dan telah pula disetujui oleh Imam Zahabi)

Juga disebut dalam hadis yang lain : "Barangsiapa yang tidak menyayangi orang yang di muka bumi, nescaya tidak akan disayang oleh zat yang di atas langit". (Hadis Sahih, diriwayatkan oleh Imam Thabrani di kitabnya "Mu'jam Kabir No. 2497 dari jalan Jarir bin Abdullah. Imam Zahabi)

Saya perlukan manusia yang dapat menerima saya, menerima kelemahan dan kesalahan saya dan membantu saya untuk keluar dari permasalahan saya bukan untuk menghukum saya, memuaskan hati melihat saya terseksa dan menderita dan merasa gembira telah mengenakan seorang hamba yang berdosa seperti saya di atas nama Tuhan dan merasakan bahawa kita sudah menjalankan kehendak Tuhan bagi menyeksa hamba-hamba-Nya.

Mana janji Tuhan pada saya bahawa penyeksaan itu di akhirat! Dijadikan dunia sebagai ladang amalan ? orang kafir dibiarkan mengecap dan menikmati rezeki Tuhan di muka bumi sekalipun tidak beriman dan mereka boleh membina hidup lumayan. Saya masih beragama, beriman dan berhasrat menuju kepada-Nya setiap hari saya berusaha membuat persediaan dan menyediakan diri saya untuk melaksanakan arahan Allah sekalipun saya tahu banyak pula saya tertinggal dan terlanggar perintah Allah SWT.

Berikan saya hak sebagai hamba Allah untuk mendapat wakil saya, pembela saya, yang akan membela maruah dan menjaga hak-hak saya serta mengurangkan beban dan derita saya. Wakil saya ialah seorang manusia, hamba Allah seperti saya yang mengasihani saya dan menyedari penderitaan saya, dia berusaha mengurangkan beban saya. Dialah seperti Rasulullah ! Abu Bakar ! Umar, Utsman dan Ali juga sahabat serta tabien, kasih sayang sesama manusia dan sentiasa membantu orang lain.

Rasulullah SAW tetap membuat bakti walau kepada yahudi tua yang sering mencela Baginda, Sayyidina Abu Bakar memberi sedekah walau kepada orang yang mencela keluarganya, Sayyidina Umar melayani rakyat walau yang mengkritik pentadbirannya, Sayyidina Utsman membantu orang susah walau tidak menyukainya, Sayyidina Ali memuliakan Muawiyah walau tidak sefaham politik dengannya.

Dakwah ialah seruan bukan penghukuman, perlu bagi para pendakwah (penyeru) agama ini memahami bahawa matlamat Islam ialah membawa manusia kepada jalan yang diredhai Allah SWT dan ianya berlaku dengan penuh kewaspadaan dan jauh dari kecelaruan dan kecuaian. Oleh itu wajar seruan menuju kepada Tuhan dilakukan dengan berhati-hati dan penuh keikhlasan untuk menyeru manusia menuju kebaikan dan kebahagian bukan untuk memuaskan hati sesiapa atau untuk mencapai apa-apa kepentingan.

Sekiranya anda tidak dapat melakukan usaha seruan, sering terpesong oleh belitan syaitan dengan asyik suka menghukum dan memburukkan mana-mana manusia di atas nama Allah SWT maka hentikanlah dakwah anda kepada kami, kerana kami manusia yang berdosa ini tidak mahukan wakil, yang hanya tahu menghukum kami tetapi kami memerlukan wakil manusia yang akan mengeluarkan kami dari dosa membantu kami dari kesalahan dan membimbing kami menuju keredhaan.

Lailahaillallah....wahdahu la syarikalah..! Moga pintu taubat masih terbuka untuk kami ya Allah! Berikanlah kami wakil dan pemimpin yang akan membantu kami, bukan orang-orang yang hanya tahu mencela dan menghina kami, menyusahkan hidup kami di atas pembohongan nama-Mu ya Allah !

Oleh : Emran Ahmad
Selasa, 21 Julai 2009

Rabu, Julai 01, 2009

Ketuanan Melayu dan Islam

Oleh : MOHD KHAIRI WAN ALI
Isu ketuanan Melayu kini menjadi lebih hangat apabila ada tokoh-tokoh Melayu, seperti menteri yang meletak jawatan kerana prinsipnya gagal, Zaid Ibrahim; atau Anwar Ibrahim, seorang bekas pemimpin yang penuh dengan kontroversi; atau Khalid Ibrahim, seorang tokoh korporat UMNO yang ‘berpaling tadah’, yang kini menjawat jawatan Menteri Besar Selangor, mempersoalkannya. Meski nama ‘di hujung’ mereka sama, namun yang jelas bukan daripada keturunan satu bapa.

Walau apapun, mereka nampaknya mempunyai fahaman yang lebih kurang sama dalam isu ketuanan Melayu, iaitu: isu ketuanan Melayu ini telah gagal membawa faedah dan manfaat kepada orang Melayu secara keseluruhannya, ataupun lebih tepat lagi secara totalnya. Malah, mereka sependapat: status ‘ketuanan Melayu’ telah dipergunakan oleh UMNO, yang hanya mementingkan segelintir orang Melayu saja!

Tentunya, UMNO menafikanya kerana mereka adalah antara produk ketuanan Melayu. Beginilah malangnya UMNO. Ibarat melepas anjing yang tersepit!

Namun, dalam legenda orang Melayu, bangsa Melayu ini telah pun diperingatkan tentang kisah Si Tenggang, yang lupa asal usulnya dek kemewahan dan kejayaan. Barangkali dewasa ini, kisah ini tidak begitu dipopularkan berbanding dengan kisah korporat, globalisasi, IT, teknologi bio, dan sebagainya.

Malah, tidak salah jika dikatakan: pada hari ini, trendnya ialah untuk melupakan Melayu daripada segala mitos, legenda, cerita lipur lara, dan sebagainya, yang menjadi ethos kepada bangsa Melayu. Sebaliknya, mereka digalakkan untuk menjadi Melayu Baru, atau mensenadakan minda mereka dengan ‘bangsa Malaysia’. Ini kerana setelah 50 tahun merdeka, nasib bangsa Melayu tidak banyak yang berubah. Mereka didapati masih suka bergantung pada tongkat subsidi, suka ‘alibabakan’ projek, terlalu mementingkan komisyen, tidak bersungguh-sungguh, tidak global dan sebagainya.

Apa yang jelas, Melayu Baru atau ‘bangsa Malaysia’, yakni bukan lagi sekadar warganegara Malaysia, adalah suatu ‘gelaran’ baru yang tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan ethos Melayu. Tidak hairanlah, Shahnon Ahmad pernah melakarkan cerpen “Wan Malini Wan Empuk”, (rujuk Berita Harian) yang menafikan segala akar ethos Melayu, yang pernah disampaikan sejak turun temurun. Bahkan, beliau lebih berani lagi menulis cerpen “Piem” (atau PM?), disiarkan lebih sedekad lalu di dalam salah sebuah majalah terbitan DBP.

Cuma hari ini, belum lagi terdapat kisah yang dilakarkan khusus kepada orang Melayu, yang ada antara mereka yang sudah didapati hilang daratan! Ini kerana kes ketuanan Melayu ini dimula-bangkitkan oleh golongan pembangkang, yang terdiri daripada pelbagai kaum. Maka, mereka pun mengeluarkan hujah-hujah yang menunjukkan betapa buruknya kesan ketuanan Melayu, ke atas orang Melayu sendiri!… dan ada dari kalangan Melayu yang termakan dengan hujah ini.

Apa yang orang Melayu tidak sedar ialah tentang mekanisme logikal. Pertamanya ialah tentang memperkatakan mengikut dimensi. Kedua ialah tentang memperkatakan mengikut aplikasi, atau praktikal, atau perlaksanaan. Bila kedua-dua mekanisme logikal ini dicantumkan sekali, maka deduksi yang akan muncul ialah suatu deduksi yang mencampurkan kedua-dua mekanisme ini.

Maksudnya, lihat saja dalam kes ketuanan Melayu ini. Dasar atau prinsip ketuanan Melayu, dibicarakan dalam konteks perlaksanaan dan hasilnya (yakni kegagalan dalam menegakkan bangsa Melayu). Lantas, deduksi yang dapat ditetapkan ialah: ketuanan Melayu gagal membela bangsanya sendiri.

Logikal ini pernah didendangkan dulu pada satu ketika. Dendangannya ialah dalam isu Islam. Maka, dideduksikan oleh kerana orang Islam gagal untuk menyaingi bangsa atau agama lain, maka Islamlah puncanya. Begitu juga dengan kes Islamophobia. Oleh kerana umat Islam yang mengganas, maka dikatakan Islamlah yang mengajarnya. Begitulah seterusnya…

Ternyata, mekanisme logikal seperti ini mampu menggoda dan menyelerakkan pemikiran golongan yang disasarkan. Dalam kes ketuanan Melayu ini, golongan sasarnya ialah orang Melayu. Jadi, jika mekanisme logikal ini tidak dapat difahami atau tidak dapat diperjelaskan, maka orang Melayu pasti bakal menerima padahnya. Mereka akan terus menjadi lemah dan hilang arah.

Dalam ajaran Islam, dan begitu juga dalam sirah Nabi s.a.w, terdapat pelbagai hujah dan dalil yang dikemukakan oleh golongan yang anti-Islam. Ini menyebabkan turunnya ayat yang bermaksud: kau dengan agama kau, ada aku dengan agama aku. Inilah titik terakhir yang perlu dihayati oleh umat Islam.

Apatah lagi dengan cabaran terhadap Islam dewasa ini. Selain Islamofobia, atau pengganas antarabangsa yang berasaskan pada Islam, ada yang katakan Islam dan Kristian itu sama kerana percayakan pada nabi-nabi yang sama; Islam mengekori Kristian seperti pakaian bertudung; umat Islam mentuhankan Nabi Muhammad s.a.w; Islam itu agama universal, jadi umat Islam tidak boleh berpandukan pada fahaman ulama Islam saja; Islam itu milikan semua, jadi bukan bersifat mementingkan sesuatu kaum saja; dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, orang Melayu yang ingin mengekalkan perjuangannya dalam isu ketuanan Melayu, mungkin perlu menerimapakai titik terakhir yang terdapat dalam ajaran Islam: “kau, kau dan aku, aku.”

Kepentingan titik akhir ini ialah orang Melayu akan menjadi lebih fokus. Mereka perlu membicarakan dengan mereka yang sudi menerima perjuangan mengekalkan ketuanan Melayu. Mereka perlu menjelaskan kepada mereka yang bersedia mendengarnya, dengan membentangkan sejarah kemerdekaan, memperincikan perlaksanaan selepas merdeka, dan kepentingan ketuanan Melayu dalam politik semasa, yang berteraskan pada demokrasi, yang tidak mengenal hak bangsa, atau hak wilayah itu.

Demokrasi hanya kenal majoriti, walaupun majoriti yang ditimbulkan adalah majoriti yang tidak mempunyai asas hak sebagaimana yang terdapat dalam sejarah.

Ini kerana taktik, “kau dengan agama kau, dan aku dengan agama aku” ini, telah didapati berkesan dalam masyarakat yang bukan Islam. Mereka hanya mengatakan ini bukan daripada ajaran Islam. Mereka menjelas dan menunjukkan apa itu ajaran Islam. Akibatnya, bangsa Eropah mulai mengenali Islam dan sanggup menerima Islam.

Manfaat ini, bukanlah bermakna menidakkan akan berlakunya pertentangan. Bahkan, permusuhan sekali pun. Cuma pertentangan dan permusuhan ini perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak. Memberi kefahaman kepada pihak berkuasa adalah lebih penting daripada memberi kefahaman kepada orang ramai, terutamanya apabila mereka sudah dihasut. Lagi pun, penguatkuasaan undang-undang yang diterima pakai pada hari ini, sememangnya menunjukkan keadilan pada semua pihak tetap ditegakkan.

Sesungguhnya orang Melayu boleh belajar daripada cabaran yang diharungi oleh Islam. Apatah lagi ajaran Islam sendiri mengiktiraf bangsa yang mempunyai wilayah eksklusifnya, tidak seperti demokrasi.

Selasa, Jun 16, 2009

Pakej Lengkap Perjuangan!

Senario yang berlaku pada politik dan negara kita pada hari ini jelas membayangkan bahawa kita perlu dan tetap utuh bersama-sama dengan perjuangan UMNO. Bersama UMNO bermakna kita sayangkan Islam, Melayu dan Tanahair kita!

Betulkah begitu?

Kerana UMNOlah satu-satunya parti politik yang memperjuangan ketiga-tiga hak… yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT…pemberian nikmat kepada kita… agar hidup kita bermakna didalam dunia ini! (Lihatlah ia dari kacamata sebagai orang Malaysia)

UMNO memperjuangkan ketiga-tiganya sekali! Islam! Melayu! Tanahair! (Alif..Ba..Ta..)… parti lain takde… UMNO berpakej lengkap…!

Pertama…UMNO lah yang menjadi pejuang Islam kat Malaysia ni…. bukan kata orang lain tak perjuangkan Islam, orang lain pun perjuangkan Islam, kerana itulah kita mesti bersama-sama. ‘Mukhlisinnalahuddin’… Ikhlas dalam agama… ingin bersama-sama dalam menyayangi agama.

UMNO sangat menyayangi Islam tetapi tidak pernah memusuhi agama lain. Di Malaysia ni, penganut agama lain diberi kebebasan untuk menjalankan apa yang terkandung didalam agama mereka.

Ini berbeza dengan DAP, yang mengugut jika hudud dibuat, maka pelbagai perkara buruk akan berlaku, walaupun cadangan tersebut datangnya dari sahabat Pakatan mereka sendiri. Akhirnya isu tersebut, senyap begitu sahaja.

Betul UMNO tak pernah kata yang UMNO nak buat hudud… tapi UMNO juga tak pernah kata yang UMNO tak nak buat hudud..! Apatah lagi nak menentangnya…..Itu dakyah…itu adalah fitnah!

Sebagai pemacu kepimpinan rakyat berbilang kaum (Satu Malaysia), UMNO amat memahami aspirasi rakyat.. UMNO sedar akan kemaslahatan umum. Moga Allah SWT memberi kekuatan dan kesabaran didalam memimpin Negara! Insya Allah.

Jika dilihat keadaan umat Islam di negara jiran kita…di Indonesia, antara umat muslim yang teramai…bagaimana keadaan umat Islam disana? Bagaimana keadaan muslim di Singapura, mereka masih bebas menjalankan ibadah, tetapi dari segi kepimpinan dan pentadbiran negara, adakah Islam itu diutamakan? Bagaimana pula Islam di Thailand?

Ini bukan mengadu-domba, ini bukan dakyah, ini bukan hasutan, tetapi pertanyaan suatu hakikat!

UMNO tahu UMNO bukan hebat mana pun! Insan yang mulia disisi Allah adalah diukur dari taqwa-nya, itu urusan Allah, kita berserahlah kepada-Nya. Untuk kita, kita perlu bermohon harap, agar Allah SWT memberikan kita kekuatan, kesabaran didalam usaha, ikhtiar, jihad dan kembali berdoa dan bertawakkal kepada-Nya!

Atas dasar itulah kita mesti sedar, faham bahawa setiap sesuatu itu bukannya senang untuk dilaksanakan, bukan semudah dikata! Kita perlu sedar akan hakikat tersebut.

Kita perlu yakin bahawa UMNO tetap berusaha dari pelbagai hal untuk melaksanakan tuntutan Islam, kita perlu sifat optimistik tetapi realistik! Banyak yang tuntutan Islam telah disempurnakan dan akan diusahakan! Insya Allah!

Kita memang tak mampu buat semua tetapi kita juga tak pernah tinggal semua. UMNO sentiasa berusaha, yakinlah.

Kedua….Perjuangan Bangsa? UMNO je yang memperjuangkan melayu ni… tiada UMNO, tiadalah perjuangan Melayu!

Semua orang melayu kena terima hakikat, fitrah kejadian kita, lahir dimuka bumi ini, kita telah ditentukan Allah Azza Wa Jalla (sejak di Lauhil Mahfuz), bukan kita yang tentukan, lahir-lahir berbangsa Melayu. Kalaulah boleh dipilih tempat lahir, rasanya mahu kita pilih nak lahir kat Mekah.. berketurunan Quraisy, tetapi takutlah pulak (mengenangkan amalan diri), bimbang-bimbang sekutu dengan Abu Jahal atau Musailamah Al Kazzab! Nauzubillaah….!

Yang penting kita kena bersyukur kita ni lahir dah Islam… itu nikmat! Syukur juga, lahir-lahir jadi orang Melayu kat Tanah Melayu (Bumiputera Malaysia)!

Suka kah kita kalau kita lahir jadi orang asli? Bumiputera juga (bukan nak merendahkan bangsa lain), cuma pertanyaan nakal… suka kah kita? Tapi kalau itu ketentuan Allah begitu, apa boleh kita, kena syukur jugak..(asalkan Islam agamanya, itulah nikmat paling utama)

Macam mana kalau dilahirkan jadi orang bukan Islam.. bukan Melayu (non-bumi)? Ini susah nak jawab...(kena tanya Karpal Singh @ Lim Guan Eng), tetapi sepatutnya mereka-mereka itu, kena terima kasih juga pada orang Melayu, kerana kebaikan hati dan keikhlasan orang Melayulah(UMNO) yang memberi keistimewaan kepada bangsa lain untuk jadi warganegara!
Rujuk sejarah… Itu hakikat! Tiada penafian!

UMNO memberi kesamarataan dan keadilan mengikut kesesuaian (meletakan sesuatu tu pada tempatnya), itulah yang kerajaan (BN) buat sekarang! Orang Melayu ada peluang! Orang Cina ada peluang! Orang India ada peluang!

UMNO tetap adil memberi keistimewaan pada bukan Melayu (non bumi) mengikut hak masing-masing!

UMNO adalah parti orang (kaum) Melayu tetapi tidak pernah bersifat perkauman melampau!


Ketiga, iaitu memperjuangkan tanah air kita ni, Malaysia nama sekarang, dulu digelar Tanah Melayu! Siapa yang benar-benar sanggup mempertahankannya?

Adakah kita nak harapkan Anwar Ibrahim yang menyanjung Chin Peng atau Uthayakumar dan geng HINDRAFnya? Siapa lagi yang nak mempertahankan tanahair kita ni? Adakah orang yang satu ketika dulu masa negara asalnya huru hara, kacau bilau dan susah! Siapa yang lari? Datang ke Tanah Melayu! Kononnya mengikut orang putih…atau dipaksa orang putih!

Ini bukan perkauman! Ini hakikat! Sejarah buktinya!

Persoalannya kalau berlaku pada Tanah Melayu, orang melayu nak lari kemana?

Nak harap ke Ir Nizar (ketika menjadi MB…kini gila talak)? Tengok dan mohonlah tanah di Perak, dapat 999 tahun, kemudian mohon rayuan tambah setahun lagi, maka dapatlah kita tanah untuk seribu tahun! Congak-congak, 999 tahun ni lama, lama sangat-sangat, kalau dibanding kita dengan zaman mula-mula Pahlawan Mat Kilau menentang orang putih lebih kurang 100 tahun, Laksamana Hang Tuah dengan kita jaraknya lebih kurang 500 tahun. Inikan pula 999 tahun + 1setahun = cukup 1000 tahun, kasihanlah pada bumiputera Perak. (Tiba-tiba teringatkan lagu BPR “ Seribu Tahun Tak Akan Mungkin”)

Jadi bila kita renungkan, hitung dalam-dalam, akan apa yang telah lama terjadi, yang baru terjadi, yang masih terjadi dan bakal terjadi!
Siapakah yang kita boleh harapkan untuk menjaga ketiga-tiga anugerah Allah SWT (Islam, Melayu, Malaysia)? Siapa?

Biarlah orang kata UMNO ni dah lama memerintah, dah tak relevan! Kalau itulah alasannya, maka lama sangat dah kita ni makan nasi, maka tak payah makan lah!

Kenapa kita makan jugak, pasal nasi lah makanan rutin kita, kalau tak pekena nasi, entahlah! Macam tu jugalah UMNO, dah jadi dasar perjuangan kita, kalau ada cacat celanya, marilah kita berlapang dada sambil menegur!

Benar ada ketikanya ingin juga bertukar selera tetapi selera begitu tidak kekal (tidak relevan), akhirnya nasi juga yang dicari, baru kenyang, baru puas! Kalau kita tak boleh makan nasi, pasal kena kencing manis, janganlah marah pada orang lain yang makan nasi! Itu pasal kencing kita yang dah jadi manis! Bunyinya manis tapi penyakit!

Begitulah pembangkang, merasakan dirinya hebat! Tetapi sebaliknya gah berpenyakit! Angkuh, Sombong, Budaya Fitnah, Derhaka dan macam-macam lagi!

Akan tetapi nasi tetap begitu juga rasanya, seperti perjuangannya UMNO, tetap Agama, Bangsa dan Tanah Air, menjadi rencahnya! Tidak menjadi nasi, kalau buang salah satu, mesti ada beras, air dan api baru jadi nasi!

Marilah kita sama-sama berdoa pada Allah SWT agar kita sentiasa diiringi dengan sifat sayang dan cinta pada Islam, Melayu dan tanah air kita ini!

Kita berharap agar Allah SWT memberi rahmat dan reda-Nya pada perjuangan kita ini, memberi kesabaran dan berlapang dada atas apa jua dugaan cabaran yang bakal kita hadapi kerana setiap perjuangan pasti ada cabaran!

Dalam masa yang sama kita tetap akur, sebagai insan kerdil di muka bumi Allah SWT ini, masih banyak kelemahan dan kekurangan yang kita lakukan. Maka bersama-samalah kita merapatkan barisan agar kita dapat bersama-sama mengatasi kelemahan dan memperbaiki kesilapan. Nasihat menasihati, tegur menegur dan lengkap melengkapi.

Jika kita bersatu, bersedia dan ingin berkhidmat pada Agama, Bangsa dan Tanahair kita akan berjaya di dunia & diakhirat. Insya Allah!
Wallahua’lam.

Hidup UMNO!

Isnin, Jun 01, 2009

Islamkan Politik, Atau Politikkan Islam?

Oleh : Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Saya sering bercakap tentang “Islamkan politik, jangan politikkan Islam”. Mungkin seseorang bertanya apakah beza antara kedua ini? Bezanya adalah jika kita berusaha mengislamkan politik kita memastikan tindak tanduk atau gerakerja politik itu tidak bercanggahan dengan Islam. Juga, jika ada pengamalan politik yang belum islamik, kita akan berusaha untuk mengislamisasikannya. Dalam ertikata lain, Islam adalah panduan sebelum tindakan.

Sementara mempolitikkan Islam adalah menggunakan Islam sebagai modal politik untuk kepentingan kuasa. Maka Islam bukan panduan tetapi sekadar alasan atau ‘cop halal’ yang dibuat untuk menjadikan masyarakat atau pengikut menerima sesuatu tindakan.

Hasilnya, seseorang akan bertindak dalam gerakerja politiknya tanpa terlebih dahulu melihat kepada ajaran Islam, namun apabila ia dipertikaikan, maka pendapat atau nas Islam akan digunakan untuk membela diri. Dalam ertikata lain mengislamkan politik bererti menjadikan Islam sebagai panduan. Sementara mempolitikkan Islam bererti menjadikan Islam sebagai alat atau alasan.

Maka sesiapa yang menjadikan Islam sebagai dasar atau panduan, maka dia akan bersedia menarik balik pandangan atau tindakan sekiranya dia dapati bercanggahan dengan ajaran Islam. Adapun yang menjadikan Islam sebagai alasan dan alat, dia menggunakan Islam bagi menghalalkan tindakan politiknya sekalipun ternyata salah.

Dia bukan hendak mendengar dalil atau hujah syarak yang kukuh untuk diamalkan, sebaliknya dia mencari orang agama atau pendapat yang sanggup menghalalkan tindakannya sekalipun dia tahu itu pendapat yang diberikan untuk menyokongnya itu lemah dan tidak kukuh. Ini sama dengan golongan taksub dan pengikut mazhab fekah secara membuta tuli dengan tidak memperdulikan alasan dan hujah yang kukuh.

Sehingga al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) mengkritik mereka ini dengan katanya: “Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati seratus atau lebih hadith sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Usaha atau sikap, samada mengislamkan politik atau mempolitikkan Islam bukan semestinya berkaitan parti atau kumpulan tetapi lebih kepada sikap individu dalam kebanyakan hal. Jika salah satu sikap itu menjadi aliran utama dalam sesebuah parti atau kumpulan, maka itu mencerminkan kecenderungan mereka yang sebenar. Untuk berpegang dan istiqamah dengan prinsip Islam dalam mengharungi politik hari ini bukanlah mudah.

Namun, itulah yang patut dihayati oleh setiap kita. Dalam sejarah pertembungan Nabi Musa a.s dengan Fira’un, Fir’aun pernah mempertikaikan tindakan Musa a.s. memukul seorang warga Qibti sebelum beliau lari ke Madyan. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya (maksudnya) : “Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: “Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami”. Firaun menjawab: “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?” Nabi Musa berkata: “Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang RasulNya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.” (Surah al-Syu‘ara: 16-22).

Inilah rasul, dia mengajar kita prinsip. Dalam suasana yang sengit, Nabi Musa tetap mengakui bahawa tindakannya memukul warga qibti itu satu kesalahan dan bukan tindakan yang berdasarkan petunjuk yang betul. Nabi Musa tidak cuba menghalalkan tindakannya demi kepentingannya, tidak sama sekali! Yang salah tetap salah.

Nabi Musa a.s. menghadapi kuasa politik yang maha besar di zamannya bahkan paling bersejarah dalam tamadun manusia. Lebih besar dari segala perjuangan hari ini. Pun begitu, prinsip tetap prinsip. Baginda bertindak memastikan manusia menurut wahyu, bukan wahyu diputarbelitkan untuk kehendak manusia.

Dalam politik kita, amat sukar kita dapati seseorang mengakui kesilapan tindakan partinya, atau tindakannya. Berbagai alasan akan dicari demi membela dirinya atau puaknya, sekalipun dia sendiri sedar itu merupakan kesilapan atau kesalahan. Ada sanggup tergadai prinsip daripada tergadai kerusi atau jawatannya. Maka jadilah apa yang jadi. Maka kita lihat lahir suasana maki hamun, cerca mencerca dan berbagai tindakan yang kadang kala di luar dari batas kewarasan dan perbincangan yang matang.

Islam bukan terlalu mengongkong politik. Politik satu bidang yang luas yang membabitkan kemaslahatan umat dan rakyat. Politik bukan satu hobi seperti main golf atau bola sepak. Politik mempertaruhkan kemaslahatan manusia. Maka tindakan dalam politik hendaklah tindakan yang membawa kemaslahatan kepada umat dan rakyat. Bukan untuk kepentingan diri dan parti.

Kemudian, perlu kita ingat, bukan semua yang berada di medan jihad itu mesti masuk syurga. Walaupun mungkin tindakannya itu kadang kala menguntungkan umat Islam, namun empunya diri jika tidak betul niat atau tindakan, atau keduanya, maka dia mungkin tidak mendapat balasan yang baik di sisi Allah sekalipun berjuang menggunakan nama Islam. Bahkan dalam hadis ada individu yang kelihatan hebat berjuang, tetapi menjadi ahli neraka.

Kata Abu Hurairah r.a:
“Kami menyertai Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, “dia dalam kalangan ahli neraka”. Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah s.a.w: “Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati”. Jawab baginda: “Ke neraka”. Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, lantas baginda bersabda: “Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasulNya!”. Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan “jiwa yang muslim” dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam masyarakat kita, agama memang menjadi faktor penarik bagi banyak pihak. Justeru, setiap yang berjuang agama atau memperkatakan agama sebagai bahan ucapan dan tindakannya hendak bertanya diri sendiri, apakah dia memang inginkan agama, atau inginkan kuasa dengan nama agama?. Jika dia telah betulkan niatnya, dia hendaklah memastikan tindakan selaras dengan kehendak Islam, bukan menafsirkan Islam agar kelihatan selaras dengan tindakannya. Maka islamkan politik kita, jangan politikkan Islam kita!

Selasa, Mei 26, 2009

Islam & Kita

Suatu hal yang perlu disedari oleh kita bersama, iaitu terdapat dikalangan kita umat Islam yang belum jelas mengenai Islam, agama yang kita anuti. Pengertian Islam yang lebih difahami lebih kepada mengikut selera dan latarbelakang pendidikan masing-masing.

Oleh kerana berbeza-beza antara satu sama lain maka Islam itu juga difahami secara berbeza. Kita gagal memahami hakikat sebenar dan intisari ajaran Islam yang berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita kabur dari mana mulanya ruang lengkup Islam dan dimana pula berakhirnya.

Kekaburan itulah yang menyebabkan kita berpada dengan hanya sekadar sembahyang seminggu sekali (sembahyang Jumaat). Ada yang puas dengan sembahyang lima waktu. Ada yang berasa cukup dengan berpuasa Ramadhan. Ada yang gah dengan mengembleng rukun-rukun Islam dan ada pula yang merasakan dirinya lebih Islamik dari orang yang lain.

Adakah cukup menjadi muslim dengan sekadar mempamerkan simbol-simbol keislaman seperti menghayati ayat-ayat suci Al-Quran didinding- dinding rumah? Atau berasal dari keluarga Islam malah dengan nama-nama Islam sudah dikatakan muslim? Adakah muslim yang memakai kopiah lebih mulia dari muslim yang memakai songkok?

Memang tepat dengan apa yang dibimbangkan oleh Rasullullah saw dalam sebuah hadith:
"Akan tiba dan berlaku keatas umatku satu masa nanti, tidak tinggal Islam pada diri mereka kecuali nama sahaja"

Pegangan dan akidah orang seperti ini adalah semata-mata urusan peribadinya dengan Tuhannya, memisahkan kehidupan beragama dengan soal duniawi (kebendaan). Soal sembahyang, puasa, zakat dan haji boleh dirunding (diadakan ceramah, kursus, seminar dan seumpamanya) tetapi bab ekonomi Islam, soal hukum Islam, masyarakat Islam dan melaksanakan semua ajaran Islam, kita telah terlepas pandang, leka dan alpa.

Beberapa gejala yang menimpa umat Islam yang berlaku dalam setiap masyarakat kita masa kini iaitu beragama secara pinggiran tanpa keyakinan sepenuhnya terhadap kemampuan Islam itu sendiri. Benarlah apa yang di firman kan oleh Allah swt dalam Al-Quran surah Al-Hajj ayat 11 bermaksud:
" Dan ada sebahagian manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tepat dan sambil lewa sahaja. Iaitu kalau ia beroleh kebaikan mereka merasakan senang hati dan sebaliknya kalau beroleh atau ditimpa kesusahan mereka berpaling tadah kepada kekufuran. Dengan sikap itu jelas sekali mereka beroleh kerugian didunia dan akhirat"

Islam itu perlu menyeluruh seperti yang disarankan didalm Al-Quran surah Al Baqarah ayat 208
Maksud firman Allah:
"Hai, orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu"

Kita perlu mengenali Islam melalui perkataan Ad-Din sebagaimana firman Allah didalam Al-Quran surah Ali-Imran ayat 19 yang bermaksud: " Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah agama Islam"

Didalam ayat lain Allah swt berfirman surah Ali Imran ayat 85 bermaksud: " Orang-orang yang menganut agama lain selain daripada Islam, maka tidak diterima dan diakhirat kelak termasuk dalam kalangan orang-orang yang paling rugi"

Kita ditugaskan oleh Allah menjadi khalifah dimuka bumi ini bukan sekadar melakukan perkara-perkara asas merupakan perkara rukun sahaja, ada tanggungjawap yang masih tersirat mahu pun tersirat. Sebagi contoh kita andaikan diri kita polis trafik. Lengkap memakai uniform , berbaju putih, berseluar hitam, berkasut boot tinggi, pistol terselit di pinggang bersama gari, wisel dan bersarung tangan putih. Lengkap beruniform, bergaya dan berperwatakan.

Tapi itu belum cukup berdedikasi jika tidak menjalankan tugas dan semestinya bersih, cekap dan amanah didalam tugas. Menjaga lalu lintas, menahan orang yang melanggar lampu merah, , menyaman jika jelas ada kesalahan berlaku dan lain-lain. Maka sudah pastilah sebuah jawatan kuasa tatatertib akan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak menjalankan tugas dengan sepatutnya.

Begitulah diri kita, perkara rukun cukup kita jaga, sembahyang fardhu cukup kita jaga, puasa nya hebat, sentiasa membaca Al-Quran, ada yang pergi menunaikan haji lebih dari sekali, umrahnya Masya Allah, setahun sekali dan seumpamanya. 'Uniform" sudah lengkap tetapi kemungkaran berlaku depan mata kita diam. Maka sudah pastilah kita akan dipersoalkan oleh Allah swt diakhirat kelak dan akan bertanggung jawab diatas setiap tugas-tugas kita.

Antara tugas kita ialah "amal makruf nahi mungkar" ,bukannya orang berbuat maksiat atau perkara mungkar kita diam, memanglah benar Rasulullah bersabda
"Jika berlaku kemungkaran didepan mata mu maka cegahlah dengan tanganmu(kekuasaan), atau dengan lidah mu(lisan) atau didalam hati (tidak mempersetujui) dan itulah serendah iman diantara kamu".

Jadi mestikah kita memilih untuk mendiamkan diri, maknanya kita adalah orang yang lemah imannya, sampai bila kita harus tergolong didalam orang yang lemah iman. Ini bukan bermakna kita perlu berkeras tetapi maksudnya lebih berhemah dan lebih manfaatnya. Ada pula antara kita yang langsung, didalam hatinya diam(tiada bantahan) malah melakukan lagi maksiat itu, maka bolehlah dikatakan yang ianya sudah hilang imannya.

Sama-samalah kita kembali kepada Islam sebenarnya, tak salah jika kita berbeza pendapat, kerana Alllah swt menciptakan kita berbeza-beza menunjukkan bahawa Allah Maka Kaya Lagi Maha Berkuasa. Tetapi mestilah kearah kebaikan dan menepati apa yang digariskan oleh Al -Quran dan As-Sunnah. Jika tidak maka tak sempurnalah Islam yang ada pada diri kita itu.

Islam itu pasti menang jadi terpulang pada kita, adakah kita mahu duduk dalam Islam atau pun tidak, Islam itu pasti menang samada kita ada didalam nya atau diluarnya. Tanya diri kita.

Perjuangan masih belum selesai dan tidak akan selesai selagi nyawa masih bersama dengan kita. Bukan setakat itu sahaja, bab berdakwah , mengajak orang melakukan kebaikan , melaksanakan hukum Islam dan sempamanya. Terlalu berat tugas kita sebenarnya, sebagai khalifah, ini kerana kita yang sombong mengatakan kita mampu melakukannya sedangkan gunung dan bukit akan lebur jika ianya menerima tugas Allah ini. Itulah manusia sentiasa angkuh tetapi lupa hakikat sebenarnya.

Insya Allah semoga kita tidak tergolong didalam mereka yang sedemikian dan sentiasa ingat mengingati anatara sesama mulim. Semoga kita, keluarga, jiran , muslimin & muslimat dan negara kita dirahmati dan diredhai Allah, dan bukan pula dari golongan mereka yang dimurkai dan sesat kepada Allah.

Wallahu a'lam dan Wassalamu.

Jumaat, Mei 08, 2009

Tujuan Pemuda - Kepentingan & Perlaksanaan!

Salaam Perjuangan....!
Wahai Pemuda, Adakah Kamu Menyedari Mengapakah Kamu Diciptakan dan apakah Kepentingan Kamu?

Kita dicipta untuk membenarkan tujuan 'ubudiah kepada Allah SWT dan memandu ummat ke arahnya, juga kita menerima tugasan dan pimpinan yang telah diletakkan di atas bahu kita :-
"Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan daripada untuk beribadah kepada Ku" [Surah Az-Zariyat : 56]

Dan kita dijadikan juga untuk beriltizam kepada manhaj Rabbani, yang tidak dibawa oleh kebatilan walaupun secebis, bahkan manhaj ini diturunkan daripada al-Hakim dan al-Hamid:-
"Dan barangsiapa yang mencari agama selain daripada Islam, maka tidak akan diterima -buat selama-lamanya- dan dia di akhirat kelak adalah terdiri daripada golongan yang rugi" [Surah Ali 'Imran : 75]

Dan kita dijadikan untuk memberikan keutamaan dan ketaatan hanya kepada Allah, Rasul Nya dan golongan yang beriman:-
"Sesungguhnya pemimpin kamu adalah Allah, Rasul Nya dan orang yang beriman yang mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, serta mereka itu tetap ruku'. Dan barangsiapa yang berwalikan Allah, Rasul Nya dan orang yang beriman, maka sesungguhnya agama Allah itulah yang pasti menang" [Surah Ali 'Imran : 109]

Adapun kepentingan kita yang agung yang telah ditaklifkan oleh Allah dengan tujuan-tujuan tersebut dan untuk tujuan-tujuan tersebut maka disimpulkan kepada menegakkan hukum Allah di bumi ini, mengeluarkan hamba-hamba Allah daripada mengabdikan diri sesama makhluk kepada pengabdian terhadap Allah, dan daripada kesempitan dunia kepada keluasannya, dan daripada kezaliman kekufuran kepada keadilan Islam.

Kemudian Tahukah Kamu Wahai Pemuda - Dengan Apakah Kamu Akan Melaksanakan Tujuan Tersebut?

Kita mestilah melaksanakan tujuan-tujuan tersebut dengan lima sifat asasiah:-
1. Keimanan yang benar yang tidak sekali-kali akan bergoyang dan tidak mudah patah
"Sesungguhnya orang mu'minun itu ialah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul Nya, kemudian mereka tidak sekali-kali berasa ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta mereka, malah dengan diri mereka sendiri pada jalan Allah. Merekalah golongan yang benar" [Surah Al-Hujurrat : 15]

2. Keikhlasan yang benar yang tidak mengenal kepura-puraan dan bermuka-muka
"Dan tidaklah mereka itu diperintah melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah secara ikhlas dalam menjalankan agama dengan lurus, dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat. Dan itulah agama yang benar" [Surah Al-Bayyinah : 5]

3. Tekad yang teguh yang tidak mengenal takut dan gentar
"Golongan yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada Nya, tetapi mereka tidak takut kepada selain daripada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan" [Surah Al-Ahzab: 39]

4. Kerja yang berterusan tanpa penat dan letih
"Dan katakan -wahai Muhammad- Bekerjalah kamu semua, maka Allah akan melihat pekerjaan kamu, begitu juga dengan Rasul Nya dan golongan yang beriman. Dan kamu semua akan dikembalikan kepada Yang Mengetahui akan perkara yang ghaib dan nyata, lalu Dia akan memberitahu setiap apa yang kamu lakukan" [Surah At-Taubah : 214]

5. Pengorbanan yang tulus yang tidak kenal selain daripada kemenangan atau syahid
"Adakah kamu mengira kamu senang-senang akan masuk syurga sedangkan tidak datang kepada kamu seperti mana yang pernah dialami oleh mereka sebelum kamu. Mereka ditimpa mala petaka dan kesengsaraan serta digoncangkan -dengan pelbagai cubaan- sehingga Rasul dan golongan yang beriman berkata: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat" [Surah Al-Baqorah : 214]

Realitinya, kelima-lima sifat ini adalah ciri-ciri yang mesti ada pada pemuda-pemudi yang membenarkan janji Allah kepada mereka, daripada sifat-sifat pejuang yang tidak takut kepada celaan dan cercaan hanya kerana Allah. Ini kerana asas kepada IMAN adalah HATI YANG CERDIK, asas kepada IKHLAS adalah JIWA YANG BERSIH, asas kepada 'AZIMAH adalah JIWA YANG KUAT, asas kepada AMAL adalah KEMAHUAN YANG CERGAS, dan asas kepada KEKUATAN adalah 'AQIDAH YANG BENAR, inilah sifat-sifat yang tidak mungkin terkumpul kecuali pada golongan pejuang tulen dan tidak mungkin dimiliki kecuali oleh pemuda-pemudi yang beriman.

Justeru, pejuang mu'min sama ada pada zaman dulu atau pun pada hari ini dalam setiap marhalah yang berlaku dalam sejarah kebangkitan umat Islam, mempunyai kekuatan yang tidak pernah pudar, izzah dan karamah yang sentiasa bangkit:-
"Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka" [Surah Al-Kahfi: 13]

Wallahua’lam & Wassalaamu

Isnin, April 27, 2009

Mungkinkah Ini Kita!

Antara umur bayi ke10 tahun :
Kita dilahirkan, kita diasuh oleh kedua dua ibu dan ayah, mula mengiring, merangkak, berjalan dan berlari. Dijaga makan dan minum. Kita dibelai dan dimanja, dididik dan dihantar kesekolah. Semuanya dipertanggung jawab oleh ibu dan ayah. Kita tidak mengenal erti susah atau payah yang kita tahu apa yang kita mahu semuanya kita dapat.
Mungkinkah ini kita?

Antara umur 10 tahun ke 20 tahun:
Kita berada didalam era akil baligh, mula mengenal bermacam pekara, diajar ilmu supaya hidup senang dan berjaya didalam menuju arus moden yang serba canggih. Perlu mencapai keputusan yang cemerlang didalam peperiksaan barulah dinamakan kejayaan. Didalam itu, mungkin kita diperkenalkan dengan pekara yang baik atau pekara yang sepatutnya kita jauhi. Hiburan merupakan keutamaan, muzik, artis dan filem semuanya dalam kepala kita, tanya apa saja macam komputer, semua sudah didalam rekod kita! Tiada hari tanpa hiburan! Bila ditanya bab agama , jawapnya "tanya orang yang lebih tua, atau tanya ustaz dan orang surau / masjid !" Mungkinkah ini kita?

Antara umur 20 tahun ke 30 tahun:
Kita mula menuju ke alam yang lebih dewasa, mulai melangkah ke alam pekerjaan maka tanggung jawab mula merapati kita. Hubungan mulai berkembang, campur gaul dengan yang bukan muhrim mulai bebas. "Open minded" kata kita! Hiburan dan sosial lebih terbuka luas. Yalah selama ini terkongkong kerana dibawah jagaan ibu dan ayah. Sekarang sudah ada duit sendiri tiada siapa yang larang. Darah muda yang sedang mengelegak lah katakan. Sudah kenal erti cinta, percintaan mulai berputik yang kadang-kadang kita lupa batas-batasannya. Dan seterusnya menuju kealam perkahwinan. Bab Al-Quran, sembahyang ,puasa dan seumpamanya, kita kata "orang muda lambat mati!"
Mungkinkah ini kita?

Antara umur 30 tahun ke 40 tahun:
Kita pada peringkat ini sibuk dengan urusan duniawi sibuk mencari untuk menampung tanggung jawab yang mula bertambah bebanannya. Banyak berfikir bagaimana kita mahu mewah dari pelbagai serbi. Semakin giat berusaha bagaimana mahu kaya. Pening pasal mahu bayar duit rumah, duit kereta, sewa iu sewa ini, bil itu bil ini. Ditambah dengan kelahiran anak. Pening memikirkan bagaimana memelihara anak dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dari hari ke sehari. Aduh sibuknya kita. Ibadat bila ditanya "tunggu pencen" jawap kita. Anak kita yang masih kanak-kanak tak diajar sembahyang , puasa dan seumpamanya bila ditanya, kita menjawap " Tak apalah mereka tu budak lagi"
Mungkinkah ini kita?

Antara umur 40 tahun ke 50 tahun:
Kita pada peringkat ini telah matang pemikirannya, pada umur sebegini kata orang kalau tidak berubah alamatnya sampai kesudah macam itulah perangainya. Umur sebegini biasanya banyak yang telah kita capai. Kereta dah habis bayar, rumah sudah hampir jadi milik sendiri. Anak-anak mulai meningkat dewasa dan perangainya pun boleh tahan. Kita tak ambil kisah asalkan mereka pandai akedemiknya, bab mengaji Al-Quran, sembahyang tak pandai , lain cerita, mungkin kita tidak mahu garang dengan anak seperti generasi terdahulu mendidik anak, kita lebih cool down, atau sebenarnya kita sendiri tak tahu bab itu ,jangan jadi macam ketam mengajar anak. Dan anak pula silap-silap, kita kencing berdiri mereka kencing berlari. Mungkinkah ini kita?

Antara umur 50 tahun ke 60 tahun:
Kita pada peringkat ini, mulai sibuk menyambut menantu atau cucu . Dan masih jugak sibuk dengan benda yang bukan-bukan. Aktiviti mulai terbatas, yelah dah tua dan baru saja mula pencen. Bagi orang dikampung, kita pun mulalah nak lepak kat kedai-kedai kopi berborak kosong dan main dam haji. Dam dah banyak kali pergi haji tapi yang kita tak pernah atau tak bercita-cita nak pergi haji tapi kena dam. Bagi orang di bandar, kita jadi "bohtua", inilah masanya nak lepak dekat kelab dangdut boleh juga exercise dengan GRO yang sebaya dengan anak atau cucu kita. Mungkinkah ini kita?

Antara umur 60 tahun ke 70 tahun:
Kita pada peringkat ini mulai slow down, mungkin kerana keupayaan mulai menurun. Penyakit pun dah banyak datang bertamu., Ada yang mula merancang nak usahakan tanah, nak tanam buah lah, sayurlah, nak ternak itulah inilah. Baguslah kalau nak berbudi pada tanah tapi nikmat Allah kalau tak betul cara kita mensyukurinya tak jadi jugak. Umur dah semakin matang dan berpengalaman tapi masih tak sedar-sedar yang amal ibadat dah terlalu lama tak sentuh. Mana yang sedar baru mula nak masuk kelas tadika bab agama, baru mula nak kenal muqaddam, nak kenal Iqra', nak masjid! Alhamdulillah kalau kita sempat beringat. Ingat yang kita ini umat Rasulullah saw yang hayatnya tak lama rata-rata diantara umur Baginda saw yang wafat pada ketika umur 63 tahun.
Mungkinkah ini kita?

Antara umur 70 tahun ke 80 tahun:
Kita pada peringkat ini kira-kira umur subsidi pemberian Allah swt, tanda kasih Allah swt agar kita insaf dan bertaubat. Peringkat ni kalau tak sedar jugak tah tahulah pasal kebanyakan kita fikiran dah mulai nyanyuk, fikir pun dah mulai mengarut, silap-silap anak-anak buat tak reti aje bila tengok kita dan cucu mula gelakkan kita. Lainlah kalau kita banyak amalan zikir, amal ibadat masih mantap, Insya Allah kita akan terpelihara dari nyanyuk.
Mungkinkah ini kita?

Antara umur 80 tahun ke 90 tahun:
Kita pada peringkat ini, lagi lemah, kalau tak silap ada riwayat yang mengatakan para sahabat atau Rasulullah saw sendiri ada berdoa supaya jangan dipanjangkan umur terlalu lama bimbang nanti akan nyayuk. Tapi kita minta panjang umur lagi! Adakah kita nak hidup menongkat langit? Buat apa panjang umur kalau nyanyuk dan lupa pada Allah swt, sembahyang pun dah tak ingat bila qiamnya, iktidalnya, sujudnya? Buat gelak cucu dan cicit kita.
Mungkinkah ini kita?

Antara umur 90 tahun ke 100 tahun dan seterusnya:
Kita telah dianugerahkan oleh Allah swt dengan nikmat umur yang panjang. Kalau masih mampu beribadat dan telah banyak melakukan amal kebajikan, kitalah orang yang amat beruntung. Tapi rata-rata pada peringkat ini pendengaran , penglihatan mulai kabur dan Allah mulai menarik nikmat itu tanpa disedari. Dan bagi orang yang masih merasakan dirinya keturunan orang yang tak mati, dia memang orang terhebat diantara orang yang terhebat. Mungkinkah ini kita?

Agak nya begitulah hidup kita, ada amalan tapi amalannya sedikit, dosa pula tak perlulah diungkit, adakah kita akan membiarkan hidup kita terus begitu atau perlukah kita mengubahnya? Insya Allah sama-samalah kita berusaha- membentuk diri kita menjadi hamba Allah swt yang sejati, sentiasa beribadat dan melakukan amalan atau sunnah Rasulullah saw. Semoga kita tergolong didalam mereka yang dirahmati lagi diredhai oleh Allah dan bukan dari golongan mereka yang dimurkai dan bukan pula mereka yang sesat.

Wallahu'alam & Wassalamu