PERBUALAN ringkas penulis dengan beberapa orang teman semalam tertumpu kepada pengumuman Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Walaupun mungkin masih diulit rasa teruja dengan pelbagai terma pentadbiran dan cita-cita dasar yang baru - majoriti daripada mereka menganggap usaha ini sebagai sesuatu yang baik dan dialu-alukan.
Apa pun asas nilaian yang diberikan oleh kumpulan anak muda ini, mereka nampak selesa dan yakin dengan keberanian kepimpinan negara. Yakin bahawa dengan adanya "kayu ukur" dan "sistem nilaian" yang nyata; khususnya dengan pengumuman NKRA - mereka akan mempunyai kebebasan untuk menilai.
Kepada mereka, sebuah kerajaan yang baik, mestilah mampu menterjemah "idealisme" kepada pelaksanaan. Bukannya sekadar berada dalam dunia utopian yang tidak kesampaian. Ataupun sekadar menjadi kerajaan yang "lemah, reaktif dan mendodoi rakyat dengan omongan politik". Ataupun kerajaan yang sekadar bijaksana dalam memberi 'cakap angin' kepada kehendak perubahan.
Untuk sebuah kepimpinan yang secara relatifnya baru, berani hadir dan tampil dengan perincian prestasi seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri setidak-tidaknya mendapat perhatian orang muda. Mereka, yang sudah sekian lama terbiasa dengan perincian prestasi di tempat mereka bekerja, berasa senang hati dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan itu.
"Kali ini, kami boleh buat perbandingan. Yang mana sekadar bercakap tetapi tidak jujur dengan usaha 'pembaikan' akan terkena pada pilihan raya akan datang," ujar seorang teman penulis, seorang eksekutif kanan di sebuah firma antarabangsa.
Francis Fukuyama dalam bukunya, State Building, Governance and the World Order in 21st Century, menyebut tentang keperluan state strengthening. Kerajaan mesti diperkuatkan dengan pembaikan kapasiti pentadbiran, ketelusan dan kecekapan pengurusan sektor awam.
Dengan mempunyai NKRA yang jelas, tidak ada alasan sebenarnya untuk wujudnya kecacatan 'pelaksanaan' buat kali ini. Kali ini, sektor awam mestilah juga bersedia menjadi "rakan pelaksana" kepada hasrat kerajaan.
Setidak-tidaknya, pada pandangan penulis, usaha kerajaan kali ini akan menampilkan gelombang penerimaan positif rakyat.
Sebagai rakyat dan juga pengundi, majoriti mereka hanya mahukan sebuah kerajaan yang mampu dan wibawa. Kerajaan yang berani melakukan perubahan dan bertindak demi kepentingan rakyat. Kerajaan yang boleh memberi 'tawaran baru' kepada mereka.
Kerajaan yang mampu menarik minat golongan muda adalah kerajaan yang mengutamakan tindakan dan mampu mengutamakan dasar. Kerajaan yang bijaksana menyusun dan merangka strategi untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
Landskap politik yang ada pada ketika ini adalah suatu suasana yang sangat "sempurna" untuk rakyat membuat perbandingan. Sama ada di peringkat pusat atau negeri; rakyat boleh menilai. Siapa yang banyak bercakap, lambat bertindak dan siapa pula yang hanya menampilkan lagak sebagai 'pengurus' kepada sebuah cerita kejayaan yang ditempa oleh orang lain. Tawaran baru, yang kononnya menggunakan asas CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) misalnya, sudah mula menjunam teruk kredibilitinya.
Apa yang Perdana Menteri tawarkan adalah suatu "kerangka tindakan" yang perlu difahami oleh semua pihak. Kalau selalu diungkapkan bahawa "masa kerajaan tahu semua sudah berlalu" dan zaman "kerajaan buat semua" juga mesti secara perlahan-lahan perlu berlalu.
Kita rakyat biasa, tidak lagi boleh menjadi penumpang yang pasif dalam kembara sebuah bangsa yang hebat. Kita tidak boleh mempunyai sikap "menunggu bulan jatuh ke riba atau dayung sampai ke tangan" dalam mencari jejak perubahan. Kerangka tindakan lebih memerlukan penglibatan semua pihak sementara kerajaan dan agensi bertindak sebagai pemangkin.
Kesemua enam NKRA yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah 'berkait rapat' dengan keselesaan dan kesejahteraan rakyat. Bagi menjawab banyak keraguan yang kononnya kerajaan menampilkan pentadbiran 'sloganik', pengumuman NKRA sudah menafikan sama sekali pendapat demikian.
NKRA secara jelas menyatakan kehendak dan kemahuan kerajaan. Apakah ia keputusan popular? Popular atau tidak sudah menjadi kurang penting. Yang lebih utama, apakah setiap seorang daripada kita akan 'terkesan' dengan NKRA yang diumumkan oleh kerajaan.
NKRA berkaitan pengurangan jenayah misalnya adalah sesuatu yang sangat mendesak dan penting.
Usaha kerajaan untuk mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang 2010 adalah langkah yang ditunggu-tunggu. Siapa tahu, pengurangan jenayah jalanan mampu juga sebenarnya mengurangkan jenayah yang lebih bersifat sadis dan kejam.
Kita mesti bermula di sesuatu sasaran yang realistik dan inilah yang dihasratkan oleh NKRA. Penulis percaya, "gelombang cegah jenayah" ini tidak boleh berakhir di sebalik pagar balai polis atau ibu pejabat kontinjen semata-mata. Peranan masyarakat, badan bukan kerajaan dalam gerakan "kepolisan masyarakat" juga mesti diperkembang.
Pihak swasta juga perlu mengambil endah dan menyumbang kepada hasrat ini. Berapa banyak pemaju yang sanggup melaburkan sebahagian keuntungan mega mereka untuk proses pembaikan kawasan perumahan yang mereka majukan? Berapa banyakkah CCTV yang mampu mereka usahakan, sebagai hadiah keselamatan kepada pembeli?
Kerjasama semua pihak - kerajaan, swasta dan masyarakat sivil - inilah yang memastikan resipi NKRA dapat direalisasikan dengan lebih sempurna.
Langkah-langkah lain, seperti pengurangan rasuah, pendidikan, peningkatan taraf hidup rakyat, prasarana luar bandar dan pengangkutan awam juga terkait dengan rakyat secara umumnya. Walaupun pada hakikatnya pihak kerajaan akan menjadi pemegang taruh utama, peranan dan tanggungjawab rakyat juga masih penting dan utama.
NKRA berkenaan pendidikan misalnya memerlukan peranan banyak pihak. Pentadbir sekolah, para pendidik, PIBG, ibu bapa turut terlibat dengan usaha dan cita-cita yang besar ini.
Peningkatan taraf hidup rakyat melalui usaha pembasmian kemiskinan akan menjadi proses sehala sekiranya kerajaan sahaja yang beria-ia, tetapi tidak disambut baik oleh masyarakat secara umumnya. Ini semua memerlukan perubahan pemikiran dan tindakan. NKRA tidak sekadar menjadi pernyataan polisi yang pasif tetapi lebih kepada "kerangka tindakan" yang wajar dikongsi dan dihayati semua pihak.
Penulis hanya teringat dengan kecemerlangan kepimpinan Khalifah Umar ibni Abdul Aziz (khalifah Umayyah). Kepimpinan singkat Umar menghadirkan segala macam perubahan dalam masyarakat. Daripada suasana masyarakat Islam yang dibelenggu kemiskinan, Umar merubah suasana tersebut.
Malah dikatakan bagaimana prinsip pemerintahan Umar telah membuka ruang ekonomi yang lebih baik. Sejak awal pemerintahannya, Umar amat terbuka dengan pilihan dan kehendak rakyat. Umar meletakkan kepimpinannya dalam "sistem nilaian" rakyat.
"Pemerintah selalunya melantik pegawai untuk mengawasi rakyatnya. Aku melantik kamu untuk mengawasi diriku dan kelakuanku. Jika kamu mendapati aku melakukan kesalahan, bimbinglah aku atau halanglah aku daripada melakukannya." Begitulah antara kata-kata yang dilafazkan oleh Umar kepada rakyatnya.
Ketegasan, kesungguhan, komitmen dan iltizam Umar inilah yang memungkinkan pembangunan dapat dilaksanakan dengan jaya dan baik. Kesediaan meletakkan penilaian kepada rakyat juga menjadi asas kekuatan kepimpinan Khalifah Umar.
Pengumuman NKRA mempunyai persamaan niat dengan cita pentadbiran Khalifah Umar untuk melihat kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Agenda ketelusan sebenar yang ditawarkan oleh kepimpinan Perdana Menteri juga saling menjurus kepada usaha yang serupa.
Tidak keterlaluan, jika dalam jangka masa panjang, dengan kemakmuran yang berterusan serta sokongan dan dokongan rakyat, Najib mampu menjadi 'Khalifah Umar ibni Abdul Aziz' moden dalam semangatnya yang baru dan kontemporari.
Mungkin ada agaknya pimpinan pembangkang yang menyamakan dirinya dengan kepimpinan Khalifah Umar? Sayangnya, kepimpinan yang ditampilkan tidak telus; malahan jerlus dengan pelbagai perkara yang memualkan rakyat.
Pemimpin sebegini mungkin boleh berselindung di sebalik usaha menyalahkan orang lain, namun rakyat pasti akan mempunyai 'kayu ukur' berbeza nanti.
Keseluruhannya, enam NKRA yang diumumkan oleh kerajaan adalah "cita-cita pentadbiran" yang wajar dicerna dengan baik. Lebih penting lagi, rakyat pasti mengharapkan sinergi pentadbiran yang lebih efektif dan berkesan.
Bagi merealisasikan hasrat yang sedemikian besar, pastinya banyak usaha "silang kementerian" cross ministries dan "silang agensi" cross agencies yang perlu dilaksanakan.
Yang lebih penting, segala kehendak prestasi dan hasrat kerajaan ini dapat direalisasikan secara menyeluruh. Ini bukan masanya untuk kita bersikap 'sukar' untuk menerima rentak dan arus perubahan. Jika inilah yang terbaik buat rakyat; maka kita mesti berlapang dada dan berjiwa besar untuk menerima usaha kebaikan.
Jika kita menerima NKRA bukan sekadar sebagai "kertas laporan kerajaan dan kementerian" semata-mata tetapi lebih kepada hasrat untuk membina negara bangsa; ia akan lebih memberi makna dan keberkatan. Akhiran kepada semua niat ini adalah untuk kita menikmati hidup yang lebih sejahtera dan makmur.
Oleh REEZAL MERICAN NAINA MERICAN [Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia]
[Petikan daripada Utusan Malaysia 30 Julai 2009]