Jumaat, Mac 26, 2010

Kenapa Anwar keluar Dewan Rakyat, jawablah pendedahan Zahrain!

20 MAC — Pendedahan yang dibuat Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengenai tembelang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berbohong ketika menggerakkan misi 16 September 2008 tidaklah mengejutkan.

Mungkin bagi sesetengah orang, ia sesuatu yang mengejutkan, tetapi tidak di kalangan mereka yang telah lama mengetahui sikap buruk Anwar yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan peribadi termasuk memburukkan imej negara di mata dunia.

Kini, banyak negara sudah mula mempercayai dakyah dan fitnah Anwar terutama Australia yang sanggup campur tangan dalam urusan dalaman negara kita.

Justeru, apalah sangat jika Anwar berbohong menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia menyokongnya dalam gerakan misi tersebut.

Yang penting, hasratnya untuk menubuhkan kerajaan tercapai, biarpun terpaksa melutut di hadapan pemimpin asing demi mencapai cita-citanya, biarpun terpaksa menggadai maruah negara, biarpun perlu menjual negara, asalkan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri Keenam tercapai.

Nampaknya, Anwar hanya berani melakukan pembohongan tetapi tidak berani mempertahankan setiap apa yang dikatakan dan dilakukannya.

Jika berada di pihak yang benar, Anwar sepatutnya tampil menjawab segala pendedahan yang dibuat oleh bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Rakyat yang pernah berada di dalam PKR, bukannya melarikan diri.

Memang memalukan apabila Anwar sanggup ponteng sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang. Soalnya, kenapa mahu ambil cuti ketika Dewan Rakyat berlangsung.

Alangkah lebih molek kalau Anwar menghadirkan diri dalam persidangan Dewan Rakyat, bolehlah beliau menepis dan menjawab segala isu yang dibangkitkan termasuk pendedahan Zahrain.

Mungkin Anwar berasa teramat malu kerana Yang di-Pertuan Agong dan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal menafikan terlibat dalam gerakan tersebut.

Mana nak letak muka, jika tidak terpaksa bercuti. Itu sahaja yang boleh Anwar lakukan dan adakah ini kualiti pemimpin yang kita mahukan.

Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam akhbar ini semalam, ‘Anda boleh membuat kesimpulan sendiri, dia itu lelaki jenis apa’. Rakyat boleh menilai sendiri tindakan Anwar itu.

Tetapi di kalangan mereka yang taksub, mereka akan mengiyakan apa sahaja tindakan Anwar dengan menyatakan ia satu tindakan yang betul.

Walaupun kebenaran kian terserlah dan kebatilan kian lenyap, namun masih terdapat segelintir rakyat yang terus memujanya sebagai lelaki budiman.

Penulis pernah berbual dengan seorang pemandu teksi di Ipoh, Perak baru-baru ini. Sengaja isu politik dipilih sebagai tajuk perbualan.

Apabila penulis meminta pandangannya mengenai pergolakan yang berlaku di dalam PKR sekarang, pemandu teksi itu menjawab: ‘Kepala’ (Anwar) dia dah betul…yang tak betul orang bawah dia…”.

Orang seperti inilah yang sukar untuk diubah pemikirannya kerana walaupun satu demi satu pembohongan yang dilakukan Anwar terbongkar, mereka tetap tidak akan mempercayainya.

Anwar juga nampaknya berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat biasa seperti pemandu teksi itu dalam menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh DAP dan Pas.

“Kenapa nak marah DAP yang memperjuangkan nasib orang dia. Marahlah Tunku Abdul Rahman yang setuju bagi kerakyatan kepada orang Cina untuk jadi warganegara semasa nak merdeka dulu.

“Sekarang ini, kalau orang Cina nak hak dia…kita (orang Melayu) kena bagi la…,” kata pemandu teksi berbangsa Melayu dan berusia 52 tahun itu.

Melopong penulis mendengar kata-kata itu kerana tidak percaya ada orang Melayu sanggup memperjuangkan bangsa lain demi termakan kata-kata bohong yang dilontarkan oleh Anwar dalam setiap ceramah politiknya.

Namun, itulah realiti sekarang. Realiti yang perlu direnungi oleh setiap umat Melayu betapa kita kini tersepit dalam satu situasi politik yang merugikan agama, bangsa dan negara.

Kepada Anwar, masih belum terlambat untuk bermuhasabah diri dan bertaubatlah kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.

Rohana Man — Utusan Malaysia

1 ulasan:

  1. Salam,
    Yang berkenaan harus bertaubat, kemudian memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, menjalani hukuman jika didapati bersalah di dalam kes-kes beliau yang 'pending', dan akhir sekali harus berhijrah secara fizikal ke negara yang mungkin mahu menaja beliau seperti Amerika Syarikat, UK, Switzerland, Israel atau Australia.

    BalasPadam