Rabu, April 22, 2009

Sifat Tercela Yang Membinasakan!

Salam…!

Walau apa pun alasan kita, Islam melarang keras umatnya daripada sikap kutuk mengutuk, hina menghina dan mengeji orang lain. Sebagaimana kita tidak mahu orang mencarut dan menghina kita, maka begitulah juga orang lain.

Di dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Setiap orang Islam ke atas orang Islam yang lain, diharamkan darahnya (yakni tidak boleh membunuhnya), hartanya (tidak boleh dirampas) dan kehormatannya (tidak boleh dicaci hina)".

Justeru itu, Islam sebagai agama kemulian, agama perdamaian dan agama perpaduan melarang keras umatnya daripada perbuatan menyakiti kaum muslimin yang lain dengan sebarang perilaku buruk dan cabul, atau dengan kata bicara yang logik pada dasarnya tetapi sebaliknya adalah bertujuan menghina, lebih‑lebih lagi Islam melarang umatnya mengutuk, maki hamun, mencerca dan mengeluarkan kata‑kata mencarut terhadap orang lain.
Semua perilaku tersebut adalah termasuk di dalam kategori dosa‑dosa besar yang dibenci oleh agama Islam yang suci. Kerana ianya tidak menawarkan apa‑apa pulangan baik dan keuntungan yang memberangsangkan, melainkan ia akan menarik kepada perselisihan dan permusuhan di antara umat Islam.

Firman Allah SWT di dalam surah Al‑Ahzab, ayat 58, bermaksud:
"Mereka yg menyakiti orang‑orang mu'min lelaki dan perempuan, terhadap suatu perkara yg tidak mereka lakukan, sesungguhnya mereka memikul fitnah dan dosa yang nyata".

Suatu kali, Baginda Rasulullah SAW bercerita: "Bahawa pada malam Baginda di Isra'-kan oleh Allah SWT. Baginda telah melepasi satu golongan manusia yang berkuku tajam daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka sendiri tanpa henti, lalu memancutlah darah keluar beserta daging muka dan dada mereka koyak dalam keadaan yang amat mengerikan. Lalu Baginda SAW bertanya kepada Malaikat; Wahai Jibril! siapakah gerangan orang‑orang itu? Malaikat Jibril menjawab: Itulah, mereka yang memakan daging manusia (yakni suka mengumpat sentiasa dan mencemarkan kehormatan orang lain)".

Benarlah apa yg diperintahkan oleh Allah SWT yang melarang kita daripada melakukan perkara yg boleh menjejaskan perpaduan dan keutuhan kita umat Islam.
Oleh itu jauhkanlah diri kita dari mencemuh dan merendah‑rendahkan puak atau orang lain. Jangan sekali‑kali menyata dan menjatuhkan keaiban orang lain. Janganlah juga kita memanggil walau sesiapa pun dengan panggilan yg buruk atau menghinakan.

Hindarilah diri kita daripada berburuk‑sangka hingga membawa diri kita bersikap suka mengintip atau mencari‑cari kesalahan orang lain, yang akhirnya membawa kepada sifat suka umpat mengumpat dan keji mengeji di antara kita sesama umat Islam.

Berkata Saidina Umar Al-Khattab : "Selalulah kamu berzikir kepada Allah, kerana ia adalah penawar. Jauhilah dari menyebut-nyebut tentang kecacatan manusia, kerana itu adalah penyakit."

"Kebanyakan dosa anak Adam adalah dari lidahnya." (Hadis Thabrani dan Baihaqi)

Berkata Ibnu 'Abbas : "Apabila kamu hendak menyebutkan tentang kecacatan orang lain, sebutlah tentang kecacatan dirimu"

Muhammad bin Wasi' pernah menasihati Malik bin Dinar: "Wahai Aba Yahya, menjaga lidah itu lebih sukar bagi manusia dari menjaga dinar dan dirham."

Marilah atas dasar dan semangat cintakan kehidupan yang diredhai Allah SWT, sama‑sama kita hidup dalam suasana harmoni, hidup saling hormat menghormati, saling kasih mengasihi dan saling bantu membantu di antara Islam lain.

Wallahua'lam & Wassalaamu

Selasa, April 21, 2009

Budaya Bohong Boleh Tumbangkan Tiang Agama!

Salaam...!

BERDUSTA dalam apa juga keadaan sekalipun adalah perbuatan yang amat dilarang dan di antara perbuatan terkutuk di sisi agama. Agama lain turut menghalang penganutnya daripada melakukan sebarang pendustaan dan pembohongan.

Ia disebabkan tindakan sedemikian mampu mengancam ketenteraman dan keharmonian, sekali gus menyebabkan masyarakat berada dalam keluh kesah serta cemas angkara tersebarnya maklumat palsu atau berbaur fitnah.

Sesungguhnya, Islam adalah agama sejahtera yang bermatlamat untuk melahirkan kesejahteraan kepada seluruh manusia. Islam melarang perbuatan atau perkataan yang bohong sama ada melalui media cetak atau media elektronik. Yang pasti tindakan itu dikecam, dikeji dan dilaknat sama ada ke atas pelaku pembohongan dan juga kepada orang yang mendengar atau membacanya.

Apatah lagi jika pembohongan itu dilakukan terhadap Allah dan rasul-Nya. Dalam al-Quran, terdapat 130 ayat dalam pelbagai surah yang mencaci perbuatan sedemikian. Di antaranya, Allah mencela orang berbohong melalui firman-Nya: “Besar sungguh perkataan (syirik) yang keluar daripada mulut mereka, mereka hanya mengata perkara yang berdusta.” [Surah Al-Kahfi, Ayat 5].

Celaan terhadap orang yang suka mendengar perkataan bohong juga diterangkan dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Mereka ialah orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka, bagi mereka kehinaan di dunia dan di akhirat, mereka beroleh azab seksaan yang besar, mereka sangat suka mendengar berita dusta.” [Surah al-Maidah, Ayat 41- 42].

Al-Quran dan hadis banyak menjelaskan mengenai larangan bercakap bohong dan berdusta, memfitnah dan mengada-adakan cerita. Meskipun sudah banyak tegahan diterangkan, namun masih ada umat Islam yang suka dan sengaja melanggarnya.

Budaya berbohong bukan saja menyebabkan sesuatu bangsa dianggap tidak bermaruah, malah akan dipandang rendah oleh masyarakat dunia. Bayangkan bagaimana akan berlaku jika sesebuah negara tidak ada orang yang boleh dipercayai. Tentu tidak akan ada lagi negara yang mahu menjalin hubungan diplomatik, perdagangan, sosial, pendidikan, kebudayaan, sains dan teknologi dengan negara berkenaan.

Ketika itu, bukan lagi kebaikan diperoleh negara terbabit sebaliknya bencana dan musibah yang melanda kerana negara berkenaan pasti dianggap bangsa pembohong, penipu atau tidak boleh dipercayai.

Pembohongan terhadap Allah adalah perbuatan yang amat terkutuk dan dicela serta bakal dikenakan seksaan amat pedih di akhirat. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah dan mendustakan kebenaran, sebaik-baik saja kebenaran itu disampaikan kepadanya, bukankah (sudah diketahui bahawa) dalam neraka jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang yang kafir.” [Surah Az-Zumar, Ayat 32]

Kutukan sama dikenakan kepada mereka yang mendustakan Rasulullah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang mendustakan ke atasku dengan sengaja, maka dia sudah menempah tempat duduknya dalam neraka.”

Berdasarkan catatan sejarah, ada puak yang tidak takut dengan seksaan Allah. Mereka adalah golongan yang mendustakan Allah hingga membawa kepada melabelkan Allah dengan sifat yang lemah. Malang lagi, golongan ini sanggup menyesatkan orang lain dengan dakwaan palsu yang dibawa mereka. Na’uzubillahiminzalik!

Tidak kurang ada golongan ini yang mencampur adukkan hukum Allah dengan fikiran serta pandangan peribadi mereka. Mereka seterusnya mendakwa apa yang mereka perkatakan atau lakukan itu adalah bersandarkan nas dan dalil al-Quran dan hadis.

Sesungguhnya, perbuatan mereka samalah dengan kerenah dan sikap orang Yahudi yang mengubah sebahagian hukum Allah yang mencampur-adukkan ajaran agama dengan akal mereka. Sikap golongan Yahudi ini sudah diterangkan melalui firman Allah yang bermaksud: “Kecelakaan besar bagi orang yang menulis kitab (Taurat) dengan tangan mereka (lalu mengubah kalam Tuhan dengan rekaan mereka), kemudian mereka berkata, ini ialah dari sisi Allah supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka dan kecelakaan besar bagi mereka daripada apa yang mereka usahakan.” [Surah Al-Baqarah, Ayat 79]

Oleh itu, marilah kita mendalami ajaran Islam dengan meningkatkan penguasaan ilmu agar kita dapat membezakan ajaran yang hak (benar) dengan yang batil (sesat). Dengan berbuat demikian saja, kita dapat membezakan di antara ajaran yang ditokok tambah atau diseleweng dengan ajaran agama sebenar.

Jika tidak, kita pasti akan meneruskan kegiatan pembohongan terhadap agama seperti mana yang dilakukan oleh musuh Islam bagi menghancurkan Islam.

Wallahua'lam & Wassalaamu
*[Tulisan ini adalah dari seorang sahabat yang matlamatnya adalah ingin menyampaikan walaupun sepotong ayat dengan harapan, yang menulis dan membaca meraih As-Sunnah & keredhaan-Nya]

Isnin, Mac 30, 2009

Tahniah & Selamat Memegang Amanah!

Salaam............,

Apa yang dapat disimpulkan kepada keputusan pemilihan yang baru tamat Sabtu lalu, telah menampakkan perubahan didalam UMNO. Apakah ini yang dinamakan 'tranformasi UMNO' atau hanya menjawab apa yang ada didalam ‘kepala’ para perwakilan?

Daripada Presiden hingga ke barisan MKT, telah berlaku perubahan, hampir separuh daripadanya adalah ‘orang muda’ dan 'orang baru'. Rata-rata pendapat pemerhati dan orang ramai amat berpuas hati akan keputusan tersebut! ‘UMNO Was Back’.

Dari segi ‘sayap’ UMNO pula, perubahan sama telah berlaku dimana Pergerakan Wanita mahukan 'orang yang baru' memimpin mereka dan begitulah juga Pergerakan Puteri meneruskan kesinambungan tersebut walaupun calon yang menang tipis undinya.

Namun bagi Pergerakan Pemuda, terdapat bunyi-bunyi yang tidak sedap didengar (rumah siap, pahat berbunyi). Sebagai ahli Pemuda, ikhlas saya katakan, saya merasakan kecewa kerana pilihan saya tidak menang! Namun sebagai insan kerdil didalam parti keramat ini dan mengetepikan kehendak peribadi, saya tetap akur dengan ‘tangan-tangan’ yang menjalankan amanah akar umbi tersebut! Suka atau tidak terpaksa ditelan! Ini hakikatnya!

Yang menang tak menang semua dan yang kalah tak kalah semua!

'Yang menang tak semua' boleh jadi hanya menang disebabkan oleh ‘ditangan-tangan’ perwakilan sahaja, tetapi tidak dihati ‘akar umbi’. Ia disokong oleh sekumpulan kecil tetapi keseluruhannya adalah sebaliknya! Adakah ianya menang bermakna, bermaruah atau sebaliknya? Jawapannya hanya Allah yang Maha Mengetahui

Barangkali 'menang tak semua' kerana faktor yang kalah juga ada sumbangan, apabila undi terpecah tiga pasti ada yang mendapat keuntungan! Yang kalah memberi kemenangan!

Barangkali 'kalah tak semua' kerana pemimpin tersebut dikatakan masih mempunyai sokongan yang kuat diperingkat akar umbi. Namun apalah ertinya jika telah diputuskan kalah, ditambah dengan kuasa yang tidak ditangan, sudah pasti kerja tidak kemana, maka banyak yang akan tergendala! Sokongan biarlah bermakna!

Walau apapun kita mestilah redha, sabar dan taat kepada apa yang Allah SWT putuskan buat kita semua, barangkali ada hikmah, barangkali ini juga adalah ujian agar orang UMNO (Melayu) lebih matang, lebih peka dan prihatin akan nasib kita dimasa mendatang!

Belajarlah dari pengalaman tersebut, adakah intergriti, Islam, moral, duit, kepentingan peribadi atau apakah justifikasi yang sebenar, yang sepatutnya menjadi pilihan kita?

Apa yang boleh dibuat kini adalah bekerja kuat, memperbaiki diri, bersatu padu kemudian tunggu dan lihat apakah yang bakal berlaku pada 3 tahun lagi (Pemilihan UMNO) atau kita akan berhadapan dengan kejatuhan dalam tempoh setahun dua ini (PRU13)?

Wallahua’lam & Wassalaamu.

Isnin, Mac 23, 2009

Pemimpin, Para Perwakilan & Kita!

Salaam……
Seperti yang kita sedia maklum, mulai hari esok (Selasa) hingga Sabtu bersamaan 24hb Mac hingga 28hb Mac 2009, bertempat di PWTC, Kuala Lumpur, akan berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2008. Pastinya proses pemilihan diperingkat pucuk pimpinan parti akan menjadi sesuatu yang sangat dinanti-nantikan.

Menjadi debaran bagi calon-calon yang bertanding, menjadi mandat untuk para perwakilan, suatu amanah dari ahli-ahli, menjadi harapan kepada orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya serta barangkali mungkin menjadi tontonan ‘box-office’ kepada para pembangkang!

Oleh yang demikian, saya suka menyentuh mengenai 'kriteria dan justifikasi’, kerana dari penilaian dan pemilihan tersebut maka lahirlah pemimpin. Pemimpin yang manakah akan menjadi pilihan? Pemimpin terpilih!


Siapakah yang memilih pemimpin? Para perwakilan!
Siapakah yang memilih para perwakilan? Ahli!
Siapakah ahli? Kita! (Orang UMNO! Orang Melayu!)
Maka kesimpulannya….
Pemimpin terhasil dari pilihan para perwakilan yang dipilih oleh ahli-ahli!

Namun adakah kita (ahli) yang memilih pemimpin?
Tidak jika para perwakilan tidak ‘sekepala’ dengan kita!
Bagaimana para perwakilan tidak ‘sekepala’ boleh kita pilih?
Apakah ‘kriteria’ dan ‘justifikasi’ kita ketika memilih para perwakilan? Apakah yang ada didalam ‘pemikiran’ kita ketika memilih para perwakilan? Namun tugasan itu (hak untuk mengundi para perwakilan) telah tamat.

Maka yang tinggal hanya tugasan yang bakal dipikul oleh para perwakilan!
Suatu amanah & tanggungjawab buat mereka!

Apakah pula ‘kriteria’ dan ‘justifikasi’ para perwakilan?
Apakah yang ada didalam ‘pemikiran’ para pewakilan?
Apa yang para perwakilan mahu?
Islam, Melayu, Intergriti, Wang Ringgit, Kelayakkan, Kepentingan Peribadi, Moral, Maruah dan sebagainya.
Apakah yang diutamakan?
Jawapannya hanya ada pada para perwakilan! Sesungguhnya Allah Yang Maha Mengetahui!

Kepada para perwakilan,

Saya mengucapkan selamat menunaikan tanggungjawab dan selamat memilih! Semoga Allah SWT memberi kelapangan dada dan fikiran ketika mengundi nanti! Semoga dapat membuat keputusan yang bernas lagi bijak! Sesungguhnya kepada Allah Azza Wa Jalla jua segala urusan dikembalikan!

Moga ianya memberikan keputusan yang baik dimasa mendatang! Apa yang diputuskan oleh para perwakilan pada Pemilihan kali ini akan menentukan jatuh atau bangunnya UMNO! Menentukan maruah & nasib Melayu! Memastikan Islam terbela! Mewariskan negara berdaulat kepada generasi akan datang!
Demi Islam Kita, Bangsa Kita! Tanah Air Kita!

Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin adalah bertanggungjawab (ditanya) terhadap apa yang dipimpinnya. [Riwayat Muslim]

Wallahua'lam & Wassalaamu

Jumaat, Mac 20, 2009

Kekuatan & Ketabahan

Salaam…..

Kepada Sdra Mohd Najuib, semoga Allah SWT memberi kekuatan dan ketabahan didalam menerima keputusan tersebut. Saya percaya Sdra akan terus bersama dengan PPU Bhgn. Maran didalam meneruskan dokongan dan sokongan terhadap perjuangan parti keramat ini kerana sememangnya Sdra adalah pejuang dan terlalu sayang kepada agama, bangsa & tanahair. Sesungguhnya perjuangan yang murni ini hanya akan tamat apabila kita menutup mata dan kembali menghadap Allah Azza Wa Jalla. Insya Allah!

Kepada Sdra Khairul Amin, semoga Allah SWT memberi kekuatan dan ketabahan didalam menerima tanggungjawab yang semakin bertambah demi meneruskan kesinambungan kepimpinan PPU Bhgn. Maran. Barangkali apa yang terjadi, mungkin merupakan ujian dan dugaan pula buat Sdra, dengan melihat senario politik tempatan & tanahair ketika ini. Subhanallah!

Kepada diri saya sendiri dan kepada rakan-rakan seperjuangan, semoga Allah SWT memberi kekuatan dan ketabahan didalam perjuangan yang sememangnya bukan mudah untuk dilaksanakan. Semoga kita sentiasa bersatu padu dan berkerjasama didalam perjuangan mulia ini. Insya Allah!

Pelbagai pendapat dan persepsi timbul ekoran dari isu, tindakan dan keputusan yang telah dibuat, ada yang positif, ada negatif ditambah pula dengan cakap-cakap nakal mahupun cakap-cakap yang kasar, namun suka untuk saya mengakhiri tulisan ini dengan sepotong terjemahan ayat Al Quran sebagai peringatan dan renungan buat diri sendiri dan saudara-saudara sekalian.

Allah SWT berfirman: 'Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.' [Surah Al-Baqarah ayat 216]

Wallahua’lam...

Rabu, Mac 18, 2009

Aktiviti Sukan - PPU Bahagian Maran

Kejohanan Bolasepak Tertutup PPU Peti Undi Sentosa
Anjuran PPU Kg Sentosa A, PPU Kg Sentosa B & PPU Simpang Jengka Dengan Kerjasama Biro Belia & Sukan PPU Bhgn. Maran

Bertempat : Padang Sek. Keb. Sentosa
Tarikh : 21 Mac 2009 (Sabtu)
Masa : 8.00 Pagi


Kejohanan Badminton Tertutup PPU (F) Bkt Tajau
Anjuran PPU Felda Bkt Tajau (3 Cawangan PPU)
Dengan Kerjasama Biro Belia & Sukan PPU Bhgn. Maran

Bertempat : Kompleks Rakan Muda Maran
Tarikh : 21-22 Mac 2009 (Sabtu dan Ahad)
Masa : 3.00 Petang


MARILAH BERSAMA-SAMA MEMERIAHKAN PROGRAM INI, MOGA ALLAH SWT MEMBERI MANFAAT KEPADA KITA SEMUA & MENGERATKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM ANTARA KITA. INSYA ALLAH DAN JUMPA DISANA! JOM DATANG RAMAI2 !

Khamis, Mac 12, 2009

Larian Kemanusian Palestin 2009

Salam Perjuangan……

Tiada yang terlewat didalam kita melakukan amal ma'ruf, dengan sama-sama menderma dan meghulurkan bantuan kepada saudara-saudara kita di Palestin. Bersempena dengan itu , kempen sokongan Skuad Sukarelawan Remaja Rakan Muda dengan kerjasama Kelab Rakan Muda dan Majlis Belia Daerah Maran akan melancarkan Larian Kemanusian Palestin 2009.

Program Larian akan diadakan pada 15 Mac 2009 (Ahad) ini, jam 7.30 pagi, bertempat di Kompleks Rakan Muda Maran. Pendaftaran adalah PERCUMA dan boleh dibuat dengan menghubungi pihak urusetia Rakan Muda Maran atau Pengerak Rakan Muda Parlimen Maran ditalian : 019-9111423. Pendaftaran masih dibuka hingga hari tersebut dan Kemeja-T Larian akan diberikan bagi penyertaan awal.

Larian ini khusus untuk belia remaja 15 hingga 25 tahun bagi menzahirkan keperihatinan Rakan Muda Malaysia sambil menderma kepada Tabung Kemanusian RM1 Rakyat Palestin namun penyertaan orang-ramai juga turut dialu-alukan.

Larian akan dimulakan dari Kompleks Rakan Muda ke Jalan Teladas, Jalan Kampung Berkat dan kembali kelaluan bandar sebelum tamat ditempat permulaan sejauh 1.5 kilometer.

Marilah beramai-ramai menyertai Larian Kemanusian Palestin 2009! Bersamalah kita memeriahkan Program Larian tersebut sambil menderma, menyatakan simpati dan sokongan kepada rakyat Palestin.

Semoga usaha ini mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah SWT. Insya Allah

Rabu, Mac 04, 2009

Kacang & Kulit! Kaduk & Junjung!

Sebagai ‘blogger’, saya kurang berbicara tentang isu-isu semasa, tapi lebih berminat menceritakan tentang program dan perancangan kerja. Namun dalam masa yang sama saya sentiasa mengikuti isu-isu semasa, cuma kesempatan masa membataskan saya untuk mem’posting’kannya. Baru-baru ini saya ada bertemu dengan beberapa orang rakan, membincangkan perihal kerja namun sempat ‘komen -meng-komen’ tentang isu-isu semasa yang memang ada je cerita panasnya!

Benarkah bumiputeraisme sama dengan apartheid?
Samakah hak-hak tuan tanah (penduduk asal) dengan hak-hak orang yang mendatang?(walaupun kononnya banyak menyumbang…tapi ada makna!)

Bukankah hak keistimewaan penduduk asal diperjuangkan oleh Nelson Mandela? Diperjuangkan oleh penduduk asli di Australia? Red Indian di Amerika? Siapakah yang menjalankan sistem apartheid? Bersifat perkauman? Bukankah ianya datang daripada sikap prejudis Barat ( orang mendatang) yang ingin berkuasa (menjajah) dan nak menjaga hanya kepentingan mereka! Atau mereka memang dah gila kuasa!

Tuan tanah tetap tuan tanah, tuan rumah tetap tuan rumah, penyewa tetap penyewa, orang menumpang tetap orang menumpang, macam tu jugalah nasib orang berdagang ditempat orang ‘kalau kajangnya mengkuang layu pastinya ia musafir lalu’.

Kita patut tahu apa yang boleh dan apa yang tak patut (jika kita jadi tetamu), tak kanlah seseorang tetamu yang datang menumpang dirumah seseorang walaupun membawa buah tangan atau memberi duit ‘barang dapur’ misalnya, bererti yang dia boleh buat apa yang dia suka, keluar masuk rumah ikut suka, tidur ikut suka (tak ubah macam tuan rumah). Walaupun hasil pembelian barang dari duitnya (sumbangan dan pergorbanan) itu juga dinikmati oleh tuan rumah (jangan lupa dia pun makan sekali…..silap-silap dia makan lagi banyak dari tuan rumah). Jadilah kita orang yang beradap (Kesopanan & Kesusilaan).

Siapa yang cuba menjadi ‘tuan tanah kedaung’, umpama ‘Belanda dapat tanah?’. Saya percaya jika Mandela itu lahir di Tanah Melayu, beliau juga akan bersama-sama disisi pejuang-pejuang kita menentang Malayan Union, menuntut kemerdekaan dan seterusnya memberi ‘endorsement’ kepada kontrak sosial.

Orang yang berkata ‘bumiputeraisme sama macam apartheid’ sebenarnya ingin mengembalikan kita kepada ‘sistem kuno yang melampau’ dan berbentuk sesuatu ‘penjajahan moden’. Mereka cuba merosakkan fikiran rakyat dengan dakyah kepentingan mereka sendiri.

Kenapa ada yang mempersoalkan kelebihan bumiputera? Orang Melayu (bumiputera) khasnya tidak pernah mempersoalkan sumbangan dan jasa bangsa lain dalam memajukan Malaysia malahan perpaduan inilah yang memberi semangat kepada orang Melayu untuk memajukan diri. Orang Melayu adalah satu bangsa yang amat bertoleransi kerana adab dan muamalah Islam-nya yang sangat tinggi.

Oleh itu janganlah ada suara-suara yang mempersoalkan hak bumiputera! Jika mereka berkata bangsa lain juga berkorban demi negara, sama-sama membangunkan Malaysia! Jangan lupa! Orang Melayu telah ‘terlebih awal’ berkorban malahan sangat besar pengorbanannya, sanggup bersama-sama dengan bangsa lain, menerima kerakyatan orang yang mendatang menjadi warganegara, mampu merasai nikmat kejayaan, keselesaan malahan dari segi kekayaan dan kemewahan, kalah ‘tauke dan tuan tanah’ sendiri!

Orang yang mempersoalkan bumiputeraisme, itulah yang bersifat perkauman dan pengamal apartheid tulen, begitulah juga penyokong-penyokongnya. Orang Melayu cintakan keamanan dan kesejahteraan dalam tanahairnya sendiri, kita yakin bangsa-bangsa lain pun turut berkeinginan yang sama, jadi terimalah ‘kontrak sosial’ itu seadanya.

Benda yang sememangnya tak perlu dipersoalkan dan sangat jelas! Tak perlulah kita tanya lagi! Jika dipersoalkan juga maka orang itu samada ianya tak faham fakta! Atau boleh dianggap kurang bijak dalam memahami fakta (saya tak kata bodoh...mungkin kurang cerdik).

Rabu, Februari 25, 2009

Kejohanan Ping-Pong Tertutup DUN Chenor

Salam Makluman….

PPU Cwgn. Bkt Kening dan J/K Penyelarasan Zon Chenor dengan kerjasama Biro Belia, Sukan, Kebudayaan, Anti-Dadah & Putera UMNO (PPU Bhg Maran) akan menganjurkan Kejohanan Ping-Pong Tertutup DUN Chenor pada 1 March 2009 – Ahad - Bermula jam 9.00 pagi.

Penyertaan adalah terbuka kepada ahli UMNO didalam Dun Chenor dan yuran penyertaan RM3 (perseorangan) & RM 6 (berpasangan). Tarikh tutup penyertaan adalah 28 Feb 09(sebelum jam 10mlm).

Selain daripada menggalakkan budaya bersukan dan gaya hidup yang sihat program ini diadakan bagi mengeratkan hubungan sesama ahli2 selain, pemimpin dapat 'turun padang' dan mengeratkan perhubungan diperingkat 'akar umbi'.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada S/U Penyelaras ( 019-9111423) & Pengerusi Penyelaras (012-9557131). Kehadiran dan penyertaan saudara2 pastinya akan memeriahkan lagi program tersebut. Insya Allah & Jumpa disana!

Program “Pemuda Bersama Masyarakat”

Anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bhgn. Maran
Tarikh : 28 Februari 2009
Tempat : Felda Jengka 4

Masa & Program

9.00 pg - 5.00 ptg Pendaftaran keahlian UMNO dan Daftar SPR
10.00 pg - 5.00 ptg Kaunter Belia – Bantuan perniagaan
10.00 pg - 5.00 ptg Kaunter Biro Pengaduan Awam
10.00 pg - 5.00 ptg Edaran Pamplet/Risalah Politik
10.00 pg - 5.00 ptg Kaunter Khidmat Pelanggan Celcom
10.00 pg - 1.00 tgh Kursus Pengurusan Jenazah
1.00 ptg - 2.00 ptg Kenduri Kampung
3.00 ptg - 5.00 ptg Pertandingan Karom
3.00 ptg - 5.00 ptg Pertandingan Batu Seremban
5.00 ptg - 6.30 ptg Program Motivasi Ibubapa (pelajar UPSR 2009)
9.00 mlm - Ceramah Politik “Politik Semasa”

MARILAH BERSAMA-SAMA MENGHADIRI DAN MEMENUHI PENGISIAN PROGRAM INI, MOGA ALLAH SWT MEMBERI MANFAAT KEPADA KITA SEMUA. INSYA ALLAH DAN JUMPA DISANA! JOM DATANG RAMAI2 !

Selasa, Februari 24, 2009

Terima Kasih & Syabas

Alhamdulillah Syukur kepada Allah SWT, kerana seperti yang yang telah dirancang pada 21 Februari 2009 (Sabtu) yang lepas, bertempat di Padang Bdr Baru Chenor, J/K Biro Belia, Sukan, Kebudayaan, Anti-Dadah & Putera UMNO (PPU Bhg Maran) telah berjaya menjalankan Program Kunjungan Muhibbah (PPU Maran). Program ini telah berlangsung dengan jayanya dengan kerjasama PPU Cwgn. Chenor, PPU Cwgn Kg Pemulihan Banjir Chenor dan PPU Cwgn RPSB II (PPU Peti Undi Chenor Bandar) bersama-sama J/K Penyelarasan Zon Chenor.

Program yang merupakan Pertandingan Bolasepak Tertutup 9 Sebelah yang bermula pada jam 9.00 pagi itu, menarik minat penyertaaan pemuda-pemuda dari 3 cwgn PPU tersebut dan J/K Biro sebagai pemain jemputan telah berjaya mengumpulkan sebanyak 6 pasukan (seramai lebih kurang 80 orang pemain dan urusetia). Program itu turut dihadiri oleh penduduk-penduduk setempat,
rakan-rakan Pemuda dan AJK Pemuda Bahagian Maran. Terima kasih kerana kehadiran dan sokongan mereka.

Program tersebut tamat pada jam 6.30 petang dan disempurnakan dengan penyampaian hadiah dan cenderahati oleh Ketua Penerangan UMNO Bhgn. Maran, Tn. Hj Shaiful Azman dan Naib Ketua Pemuda, Sdr Khairul Amin diiringi oleh KP Cwgn. Kg Pem. Banjir, Sdr Tasyrif. Terima kasih buat pemimpin2 tersebut yang sudi melapangkan masa bagi menyerikan program. Syabas & tahniah buat pasukan 'M.U' yang menjuarai pertandingan tersebut apabila menewaskan pasukan ' Chelsea' menerusi sepakan penalti. Tahniah juga buat Sdr Nizam & Sdr Firdaus @ Pisang kerana dinobatkan "Pemain Terbaik".

Selaku wakil J/K Biro, pihak kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang terlibat, diatas sumbangan dan kerjasama bagi menjayakan program. Dengan kerjasama yang sebegini diharap akan lebih menyemarakkan permuafakatan dan persaudaraan kita bagi menjayakan program-program seterusnya dimasa akan datang. Insya Allah. Terima kasih dan jumpa lagi. Wassalaam.

Jumaat, Februari 20, 2009

Program Muhibbah - Biro Sukan PPU Maran

Salam Perjuangan...

Biro Belia, Sukan, Kebudayaan, Anti-Dadah & Putera UMNO (PPU Bhg Maran) dengan kerjasama J/K Penyelarasan Zon Chenor akan mengadakan Program Muhibbah di Padang Bdr Baru Chenor pada 21 Februari 2009 - Sabtu - Bermula jam 9.00 pagi. Pihak J/K Biro akan mengadakan Pertandingan Bolasepak Tertutup 9 Sebelah yang melibatkan ahli-ahli Pemuda dari 3 cawangan Pemuda iaitu PPU Cwgn. Chenor Bandar, PPU Cwgn Kg Pem. Banjir Chenor dan PPU Cwgn RPSB II (PPU Peti Undi Chenor) dan penyertaan bersama J/K Biro & J/K PPU Maran. Kehadiran saudara-saudara pastinya akan memeriahkan lagi Program tersebut. Jumpa sana!

Program ini merupakan merupakan kesinambungan daripada program yang telah dijalankan sebelum ini, iaitu program bersama-sama ahli-ahli Pemuda di 3 cawangan Pemuda didalam Jengka 1 (Bolasepak Persahabatan) pada hujung Januari lalu. Dan pada awal Februari pihak Biro telah mengadakan program bersama-sama dengan ahli-ahli Pemuda diKg Luit (Badminton).

Terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka-mereka yang terlibat dan hadir bagi menjayakannya. Walaupun program itu hanya ‘kecil-kecilan’ namun disisi Biro ini, sumbangan dan kerjasama mereka yang terlibat amatlah dihargai dan besar ertinya.

Biro ini merancang untuk menemui dan bersama-sama, dengan setiap cawangan2 Pemuda yang ada didalam PPU Bahagian Maran (tidak kurang daripada 80 cawangan Pemuda). Biro ini ingin bekerjasama dengan ahli2 Pemuda cawangan didalam menganjurkan apa jua program (yang besesuaian dengan Biro ini) dari program yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang besar dan termampu.

Kerjasama dan sokongan daripada semua pihak dari yang atas hinggalah ke bawah amatlah kami harapkan. Ianya amatlah penting didalam menjayakan segala urusan dan semua pihak perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Barulah sesuatu perancangan atau urusan dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.

Harapan Biro ini agar semua yang dirancang membuahkan hasil walaupun tahu akan ada kelemahan, dugaan dan seumpamanya akan timbul. “Jika tak mampu buat semua, jangan pula ditinggal semua”.

Rabu, Februari 18, 2009

Assalamua'laikum....

Syukur kehadrat Allah SWT, Pemilik Sekalian Alam, selawat dan salam keatas Junjungan Besar Rasulullah S.A.W serta ahli keluarganya.
Bismillahirrahmanirrahiim, julung kali nya saya dapat juga memulakan wacana blog saya sendiri yang mana sebelum ini saya hanyalah pemerhati semata-mata kepada blog-blog sahabat saya selain blog-blog yang sedia ada (tanpa sebarang komen). Namun kini saya terpanggil untuk turut serta memberi pandangan dan pendapat didalam ‘medium’ teknologi maklumat sebegini kerana memikirkan 'kebaikan dan kelebihannya', malahan sangat teruja untuk bersama-sama dengan sahabat-sahabat (Pemuda Maran) yang telah awal keluar dengan blog masing-masing (tahniah kerana memulakan..!) disamping blog-blog lain yang sememangnya telah terlalu banyak.

Pada mulanya saya tidak mengendahkan ‘gelombang blog’ yang mula menarik 'Pemuda Maran' untuk membina blog masing-masing kerana saya bimbang saya tidak mampu memanfaatkan kebaikan dan memenuhi pengisian tujuan 'berblog’. Pada pandangan saya ‘apa guna kita ada senjata jika kita tidak tahu menggunakannya’. Kata Guru saya, apabila musuh ada didepan mata, jika kita ‘tidak kenal senjata’, kita akan terlupa, walau pun parang terselit dipinggang sendiri, kayu ditanah juga yang kita dicari sebagai pedinding diri. Namun saya mengakui ‘jika kita tak dapat buat semua benda, jangan pula kita tinggalkan kesemuanya’, buatlah yang mana termampu, biarpun sedikit tetapi bermakna dan memberi manfaat (moga saya diberi kekuatan melaksana kerana kata-kata itu). Semangat saya juga bertambah apabila adanya sahabat-sahabat menggalakkan agar mengunakan ‘medium’ sebegini sebagai wadah menyampaikan maklumat yang tepat, cepat dan efektif.

Memetik kata-kata Tun Dr Mahathir , IT ini diibaratkan pisau yang boleh memotong buah untuk dimakan (kebaikan), tetapi ianya juga mampu melukakan jika kita tersalah menggunakannya (keburukan). Semuanya terpulang pada kita bagaimana kita mengayakannya, jika baik, baiklah hasilnya dan begitulah sebaliknya. Semoga ruang ini dapat digunakkan sebaiknya oleh saya dalam menghadapi cabaran dan dugaan didalam penghidupan (didunia & diakhirat).

Harapan saya juga agar ruang ini, dapat membina dan mematangkan diri saya dengan adanya komen-komen dan pandangan dari sesiapa jua yang membaca dan mengikuti blog saya ini (jika ada). Kata pepatah pemimpin yang bijaksana “Bersamalah dengan ku jika aku menyeru kearah kebaikan dan luruskan ku jika aku kearah kejahatan walupun terpaksa diluruskan dengan mata pedang! Dan Rasulullah SAW pernah bersabda “Berkatalah benar sekalipun pahit”. Moga Allah Azza Wa Jalla memberi keampunan kepada kita semua kerana dosa dan kejahilan kita dimasa lalu, ketika ini dan dimasa akan datang, kerana sesungguhnya manusia ini sangat lemah, jahil dan selalu lupa. -Yang baik itu pastinya dari Allah SWT dan yang buruk itu adalah kelemahan dari diri ini. Wallahua’lam.